2,839 graduan UMK terima ijazah konvokesyen ke-13


KOTA BHARU: Seramai 2,839 graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-13 pada 4 hingga 7 November ini.

Konvokesyen akan diadakan di Dewan Tuanku Canselor, UMK Kampus Bachok.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr Razli Che Razak berkata, daripada jumlah itu seramai 2,739 adalah graduan pra siswazah dan 100 graduan pascasiswazah.

Katanya, seramai 2,739 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, 75 graduan dianugerahkan Ijazah Sarjana dan seramai 25 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Istiadat konvokesyen kali ini turut memberi penghormatan kepada Pengarah Utama KSK Insurance Indonesia, Dato’ Dr. Sharifuddin Abdul Wahab akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan).

“Sehingga tempoh konvokesyen hari ini UMK memiliki seramai 17,824 orang alma mater (alumni) UMK,” katanya pada kenyataan media hari ini.

UMK turut meraikan penerima anugerah kecemerlangan universiti iaitu Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Keusahawanan (Kelompok Sosial).

Selain itu Anugerah Keusahawanan (Kelompok Komersial), Anugerah Alumni, Anugerah Dekan dan Hadiah Akademik.

Dr Razli juga berharap alumni-alumni UMK mampu menyumbang khidmat bakti kepada universiti dalam pelbagai bidang.

UMK turut mencipta kejayaan tahun ini dalam pencapaian Times Higher Education (THE) World University Ranking By Subject 2024 yang diumumkan pada 26 Oktober lalu.

“Pada pengumuman tersebut bagi Subjects Rankings 2024, UMK tersenarai bagi tiga subjek terbaik iaitu Business and Economic (801+), Engineering (1001+) dan Physical Science(1001+) .

“Bagi pencapaian THE World University Ranking pula, UMK berada pada kedudukan 1501+,” katanya.

Menurutnya juga penilaian itu dijalankan The World Rankings secara komprehensif melibatkan 18 indikator dan prestasi universiti merangkumi asas pengajaran, penyelidikan, perkongsian ilmu dan aspek antarabangsa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMK Prof Dr Mohammad Ismail berkata, sempena Istiadat Konvokesyen Ke-13 UMK turut berlangsung PESKOUMK’13 yang bertemakan Citra Warna.

Katanya, konsep Citra Warna bertujuan mempromosi pelancongan dalam memperagakan kebudayaan, pakaian, tarian dan nyanyian lagu rakyat Malaysia.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan untuk memeriahkan PESKOUMK’13 pada kali ini bermula dengan Splash Colour Run, Malam Citrawarna dan Citrawarna Gegar Pesko.

“Lebih meriah dengan pertandingan P├ętanque (Double Open), Mobile Legand, Player Unknown Battlegrounds Mobile (PUBG), dan E-Football (Pes Mobile) yang merupakan pertandingan e-sport,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

Ulasan