'Anwar pernah gagal tangani krisis kewangan' - Tun M


'Anwar pernah gagal tangani krisis kewangan' - Tun M
Oleh Essa Abu Yamin - November 13, 2023 @ 3:10pm
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mendapat peluang menjadi pemangku Perdana Menteri sewaktu beliau bercuti pada tahun 90-an, terbukti tidak mampu menangani krisis kewangan yang dihadapi negara pada masa itu.

Tun Mahathir menegaskan, Anwar ketika itu seolah-olah tidak faham dengan masalah yang sedang dihadapi negara, sekali gus tidak dapat mengenal pasti cara menyelesaikan masalah berkenaan.

"Anwar ketika itu suka menurut apa yang dinasihatkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

"Jadi saya berpendapat, saya tidak boleh meneruskan cuti. Saya balik dan tidak langsung terus ambil tugasan saya ketika itu," katanya ketika muncul dalam program podcast Keluar Sekejap yang disiarkan hari ini.
DISYORKAN UNTUK ANDA

Dr Mahathir menjelaskan, beliau kemudiannya menubuhkan satu jawatankuasa baharu di luar Kabinet kerana mahu mengumpulkan pakar perbankan, pakar kewangan dan peguam bagi memberi pendapat masing-masing.

"Ketika itu Kabinet atau pentadbiran kerajaan tidak mempunyai pakar, jadi kita ambil pakar daripada luar dan ketika itu Anwar turut berada di situ (dalam jawatankuasa).

"Saya masih membenarkan Anwar memberi pendapat, tetapi pendapat dia lebih kepada mahu menurut nasihat IMF dan Bank Dunia," katanya.

Dr Mahathir berkata, ketika itu beliau memberitahu kepada Anwar, bahawa jika dilakukan begitu negara tidak akan cukup duit untuk membayar gaji kakitangan awam.

Menjawab tindakan Anwar menerima nasihat IMF yang mahu menaikkan faedah pinjaman bank dan mengurangkan perbelanjaan, Dr Mahathir menegaskan Anwar ketika itu sememangnya suka mengikut nasihat IMF dan Bank Dunia berhubung perkara itu.

Beliau menjelaskan tindakan berkenaan menimbulkan masalah kepada bank apabila berlaku kejatuhan nilai mata wang ringgit.

"Jadi Anwar ikut kehendak IMF dan mata wang masih cukup. Bila kita tegur saja, dia (IMF) ini sengaja menurunkan nilai mata wang kita.

"Bila mata wang kita menurun, kita jadi miskin. Benda yang dahulu kita boleh beli dengan RM100 sekarang kita kena beli dengan RM120 ataupun kita jadi lebih miskin," katanya.

Beliau menjelaskan bagi menyelesaikan masalah berkenaan, akhirnya kerajaan ketika itu mengambil langkah menghentikan penjualan mata wang (menambat ringgit) dan menetapkan tukaran wang asing.

"Ramai yang marah (dengan tindakan itu), dan mendakwa tiada negara di dunia yang berbuat demikian. Saya kaji mata wang negara lain dan dapati China dan Chile juga tidak boleh diniagakan dengan itu ekonomi mereka tumbuhan dengan licin (lancar)," katanya.

Ulasan