KARTEL ayam di Malaysia menguasai hampir 70 peratus daripada bekalan 2.2 juta ekor ayam di pasaran setiap hari.
Mereka menguasai industri ayam dengan mengawal pengeluaran dedak ayam, menguasai import ramuan makanan ternakan dan mengawal import ayam sejuk beku secara haram.
Bagaimana proses ayam dihasilkan?
1. Bahan mentah untuk penghasilan dedak ayam diimport seperti jagung bijirin dan kacang soya. Dedak ayam dikilangkan. Ini diuruskan kartel.
2. Kartel juga mengimport stok induk ayam untuk bertelur dan menghasilkan anak ayam sehari.
3. Kartel menghantar stok anak ayam kepada penternak untuk dibela sehingga sampai tempoh untuk disembelih.
4. Di sini, 60-70 peratus kos bahan mentah adalah harga dedak ayam. 20 peratus kos adalah anak ayam umur sehari. Kedua-dua kos ini dibayar oleh penternak kepada kartel.
5. Kartel datang pula membeli ayam hidup daripada penternak dengan harga yang ditetapkan. Harga itu sudah termasuk kos makanan yang dibayar penternak.
6. Ayam-ayam hidup ini kemudian dihantar ke pusat sembelihan dan dibungkus untuk dijual ke dalam pasaran.
Dari awal, kartel inilah yang menetapkan harga dedak, menetapkan harga anak ayam dan menetapkan harga ayam hidup.
Bahkan ketika subsidi ayam dan harga kawalan telah ditetapkan pun, masih berlaku peningkatan harga melebihi harga kawalan.
Laporan pada 6 April tahun lalu, harga yang ditetapkan kerajaan adalah RM8.90 sekilogram namun harga di pasaran ketika itu mencecah RM10 sekilogram.
Sedangkan harga yang dibayar kepada penternak hanya RM4.60 sekilogram.
Siapa yang menguasai bekalan, dialah yang paling berkuasa mengawal harga sesuatu barang.
YB USTAZ NURUL AMIN HAMID
Ahli Parlimen Padang Terap
2 November 2023 – HARAKAHDAILY 2/11/2023
Ulasan
Catat Ulasan