Genap 72 tahun perjuangan PAS membimbing ummah



DUNIA Islam akan terus merakamkan jasa serta pengorbanan harakatul ummah dalam menggalang pelbagai usaha memelihara agama Islam, berjuang tanpa lelah menegakkan pemerintahan Islam, menentang kefasadan serta mencetak kader kader dakwah bagi kesinambungan perjuangan Islam. Ikhwanul Muslimin yang berjasa, kini mencapai usianya 95 tahun, Jamiat Islami yang berpengaruh di Sub Continent kini mencapai usianya 82 tahun, gerakan Islam yang lain sebahagian besarnya dipecah berantakan oleh rejim penguasa. Antara gerakan yang pernah diharamkan seperti Masyumi di Indonesia, Front Islamic Salvation di Algeria, Refah di Turki serta pelbagai parti Islam yang lain yang mengalami pembantaian tanpa ampun.

PAS menerjang badai perjuangan dalam tempoh yang panjang, fasa perjuangan kemerdekaan Malaya, seterusnya membina kefahaman Islam rakyat yang masih dibelenggu dengan mentaliti ‘the blue eyes’, menjadi organ besar dalam melaksanakan perubahan sikap umat daripada skeptikal terhadap keupayaan Islam kepada rasa ghairah untuk melihat Islam didaulatkan. PAS dalam fasa kebangkitan semula Islam telah menjadi pemain utamanya, dicemburui oleh pesaing malah berdepan dengan mehnah ,ibtila’ serta tribulasi yang panjang.

Pemimpin serta ahlinya paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, PAS difitnah oleh hegemoni daulah dalam tempoh yang panjang sehinggalah direzekikan berkongsi kuasa pasca Februari 2020 di peringkat Persekutuan. PAS melalui suluhan ilmu para ulamak yang berperanan besar dalam organisasi sehingga pernah digelar oleh pengkaji Sains Politik seperti John Funston sebagai ‘parti pak lebai’.

Ulamak dan agamawan Tanah Melayu yang berhimpun di Gunung Semanggol telah mengasaskan Hizbul Muslimin pada Mac 1948, namun umur parti Islam pertama ini sangat singkat dengan pengenalan Ordinan Darurat pada Jun 1948. British dalam mengekang kemaraan komunisme juga sekali gus mematikan perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air.

Ruang politik yang tidak kondusif di zaman darurat bermula pada tahun 1948 dengan penangkapan massa secara rambang telah membentur kebangkitan rakyat. Segelintir ulamak Hizbul Muslimin telah menyertai Biro Agama Umno kerana hanya parti berhaluan kanan sahaja dibenarkan oleh British untuk bergerak dalam politik tanah air. Kelompok agamawan inilah yang seterusnya telah menubuhkan Persatuan Ulamak Semalaya pada 23 Ogos 1951 dan akhirnya bertukar dengan nama yang lebih inklusif iaitu Persatuan Islam se-Tanah Melayu pada 24 November 1951.

Dasar perjuangan PAS ialah untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British dan menegakkan sebuah pemerintahan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis. Maka untuk mencapai matlamat itu, PAS telah bekerjasama dengan parti-parti yang lain di Persekutuan Tanah Melayu untuk mendesak British memberikan hak pemerintahan sendiri dan merdeka. PAS telah menghantar tiga orang wakil iaitu Mohad Asri Haji Muda, Tuan Haji Ahmad Tuan Hussien dan Ustaz Uthman Abdullah.

Dalam persidangan itu, PAS mempertahankan pendirian politiknya iaitu Persekutuan Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. oleh kerana itu, PAS membawa usul bahawa apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kedudukan orang Melayu sebagai pemilik negeri ini yang asal dan sah tidak harus dilupakan. PAS telah meminta supaya Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara secepat mungkin sebagai pengganti Bahasa Inggeris.

PAS juga mendesak supaya agama Islam diletakkan di tempat yang penting di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka nanti. PAS juga tidak menyokong cadangan Umno-MCA untuk menjadikan prinsip Jus Soli sebagai syarat kelayakan mengundi bagi orang-orang asing. Bagi PAS, orang-orang asing tidak mempunyai hak untuk mengundi kerana mereka bukan rakyat negara itu. PAS juga menolak cadangan perikatan Umno-MCA yang mahukan suruhanjaya bebas dilantik untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sungguhpun berbeza pendapat berhubung dengan corak kemerdekaan Tanah Melayu yang bakal merdeka, PAS tidak mengkhianati atau menghalang usaha-usaha parti Perikatan berhubung dengan tuntutan kemerdekaan. Tokoh-tokoh utama PAS seperti Dr Burhanudin al Helmi, Prof Zulkifli Mohamad antara sosok yang sentiasa meniupkan api kesedaran kepada rakyat untuk merdeka. Bahkan Dr Burhanuddin mendekam beberapa kali dalam penjara di zaman penjajahan kerana sifat anti kolonialnya yang sangat tinggi.

Musuh PAS beberapa dekad selepas merdeka telah memfitnah PAS sebagai parti penghalang kemerdekaan, sebuah parti yang tidak ingin kepada kemerdekaan dan dilahirkan oleh British. Sejarah pula menyaksikan ulamaklah yang mengucur keringat dalam memperjuangkan kemerdekaan semenjak awal abad 20, dipenjara dan dibuang negeri oleh penjajah British.

PAS memberikan sokongan sepenuhnya terhadap rombongan Tunku Abdul Rahman, Yang Dipertua Umno, ke London pada bulan September 1953 untuk menyerahkan memorandum yang disusun oleh Jawatankuasa Persidangan Kebangsaan kepada Kerajaan British bagi menuntut diadakan segera pilihan raya di peringkat Persekutuan. Hasil desakan bersepadu daripada parti-parti politik itu, British bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1955.

Pada bulan Ogos dan Oktober 1953, PAS menyertai persidangan kebangsaan tajaan perikatan Umno-MCA bagi membahaskan cadangan untuk mendesak Kerajaan British mengadakan Pilihan Raya Persekutuan 1954, iaitu sebagai langkah awal ke arah pemerintahan sendiri. Maknanya PAS melakukan apa sahaja bagi memastikan jalan kemerdekaan dapat diraih, pilihan raya yang pertama sangat penting bagi menyediakan rakyat Tanah Melayu untuk berkerajaan sendiri.

Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) kemudiannya didaftarkan dengan Pendaftar Persatuan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) atau PAS (dua minggu) sebelum 31 Mei 1955 iaitu hari penamaan calon pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang telah berlangsung pada 27 Julai 1955. Nama Persatuan Islam Se-Malaya kemudiannya ditukar dalam persidangan pada 25-27 Disember 1971, ia ditukar sekali lagi menjadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kekal hingga ke hari ini.

Tujuh dasawarsa bergulat dengan lapangan dakwah, tarbiah serta siasah bukanlah tempoh masa yang singkat. Keringat, air mata bahkan darah telah tumpah menjadi baja kepada perjuangan Islam yang didukung oleh PAS. Harakatul ummah ini sangat signifikan kepada usaha pemberdayaan pendidikan serta dakwah, tak pernah menyembunyikan matlamat perjuangan menegakkan pemerintahan Islam walau dibenci oleh para pembenci.

Kini PAS mampu berbangga dengan menguasai empat buah kerajaan negeri serta mempunyai Ahli Parlimen teramai di Parlimen, juga dengan seramai 147 ADUN di seluruh negara. Ahlinya bukan sekadar para petani, santri, agamawan serta rakyat jembel namun kelompok profesional tahap tinggi telah menjadi penggerak parti Islam ini. Insya-Allah harakatul ummah ini akan memimpin negara kita suatu masa nanti. Dirgahayu Parti Islam Se Malaysia, moga Allah merahmati seluruh leluhur jamaah ini dan seluruh abnaul harakah!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI Pusat – HARAKAHDAILY 24/11/2023

Ulasan