Kes cabar Enakmen Syariah tarik minat ramai peguam


PUTRAJAYA: Enakmen Kanun Jenayah Syariah bukan milik PAS dan bukan juga milik Kelantan sahaja, malah ia milik semua umat Islam di Malaysia.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, kepentingan enakmen tersebut menyebabkan hari ini puluhan peguam hadir di Mahkamah Persekutuan.

Katanya mereka mewakili pelbagai Majlis-Majlis Agama Islam Negeri, NGO dan institusi Islam bergabung dan mengemukakan hujah-hujah sangat meyakinkan bagi menentang pemtisyen yang cuba membatalkan 18 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Katanya petisyen itu dibawa seorang peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

“Hakim mendengar hujahan balas sahabat-sahabat mahkamah yang mewakili Majlis-Majlis Agama Islam Negeri Perak, Majlis Agama Islam Negeri Kelantan dan Persatuan Peguam Muslim dan Sisters in Islam (SIS) serta Forum (Malaysia) turut menjadi sahabat mahkamah.

“Sahabat mahkamah yang mempunyai kepentingan bersama sebab kes melibatkan Enakmen Kanun Syariah, semua yang terlibat itu ada kepentingan.

“Jadi berhujah lebih dua jam mahkamah memerlukan masa untuk membuat keputusan, mahkamah tangguhkan kes ini. Maka, sembilan hakim akan membuat keputusan terbaik,” katanya ketika ditemui di perkarangan Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Kata beliau juga pada tarikh yang akan dimaklumkan nanti tidak akan ada hujahan tetapi terus kepada keputusan.

Menurutnya beliau menjangka keputusan akan dimaklumkan dalam tempoh enam bulan.

“Alhamdulillah kes kali ini hampir seluruh negeri di Semenanjung masing-masing menyertai prosiding untuk bersama sebab keputusan nanti sangat penting untuk seluruh umat.

“Jadi umat Islam hendaklah meneruskan bermunajat dan doa. Saya lihat reaksi mahkamah pun agak bersetuju dalam beberapa ‘point’.

“Tapi kita tidak boleh agak apa yang akan berlaku. Jadi kita harapkan kita berjaya mempertahankan Enakmen Kanun Syariah,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2023

Ulasan