Operasi sektor pertanian masih takuk lama


KUALA LUMPUR: Data Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tahun lalu menunjukkan perolehan dan operasi sektor pertanian masih pada takuk lama iaitu 6 peratus.

Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkata, angka tersebut masih kekal sehingga sekarang walaupun sudah dilaksanakan sejak 12 tahun lalu.

Katanya, apakah peranan kerajaan dalam usaha meningkatkan hasil pertanian dan keterjaminan makanan selepas pelbagai inisiatif dan program dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Selain itu kata beliau apa peranan kerajaan melalui koperasi berkaitan projek penanaman padi di kawasan seluas 50,000 hektar di Sabah dan Sarawak.

“Apa fungsi yang boleh dimainkan Kementerian Pembangunan dan Koperasi (KUSKOP) khususnya aspek penanaman padi yang diumumkan di Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

“KUSKOP perlu dilibatkan untuk memastikan semua pemilik tanah terbabit mendapat keuntungan serta hasrat kerajaan dalam isu keterjaminan makanan dapat dicapai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu kerajaan mengenal pasti kawasan seluas 50,000 hektar di Sabah dan Sarawak untuk projek penanaman padi.

Perkara itu diumumkan ketika negara berhadapan krisis kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran. – HARAKAHDAILY 15/11/2023

Ulasan