Syahir kongsi Kad Laporan 365 hari



KUALA LUMPUR: Setelah genap satu tahun, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkongsi ‘Kad Laporan 365 Hari’ yang menggariskan segala usaha dan pencapaian beliau atas tanggungjawab yang dipikulnya.

Secara umumnya, kad laporan tersebut meliputi lima aspek utama, iaitu Prestasi Parlimen, Pembangunan Kawasan, Kebajikan Kawasan, Pendidikan dan Belia Kawasan, serta Politik Nasional.

Pertama dalam aspek Prestasi Parlimen, Syahir menggariskan partisipasi beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat, khususnya pandangan dan cadangan dalam perbahasan Menjunjung Kasih Titah Di-Raja, Perbahasan Belanjawan 2023, Kajian Separuh Penggal RMK-12, RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, dan Perbahasan Belanjawan 2024.

Antara topik utama yang disentuh beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (Kewangan dan Ekonomi) Dewan Rakyat adalah dasar ekonomi, dasar percukaian, federalisme ekonomi, keadilan ekonomi, disiplin fiskal, inflasi dan kos sara hidup, kemiskinan, keusahawanan belia, tuntutan royalti petroleum, dan pembangunan sosio-ekonomi negeri Kelantan dan kawasan Bachok.

Turut dinyatakan sejumlah 45 soalan lisan dan bertulis telah dikemukakan untuk dijawab oleh pihak Kementerian, meliputi pelbagai isu ekonomi, undang-undang, dan politik negara, di samping keperluan pembangunan dan kebajikan di peringkat negeri Kelantan dan kawasan Bachok.

Kedua dalam aspek Pembangunan Kawasan, Syahir menggariskan beberapa pertanyaan, permohonan dan semakan status projek demi kesejahteraan rakyat di Parlimen Bachok, antaranya, status pembinaan Hospital Daerah Bachok (KKM), peruntukan pengindahan Pantai Irama, Pantai Senok dan Pantai Melawi (KPKT, Majlis Daerah), projek tangani hakisan pantai (JPS), kesesakan lalu lintas Jelawat (JKR, Majlis Daerah), kualiti jalan kampung dan desa (KKDW), capaian telekomunikasi dan internet (KKD), dan status pembukaan Kolej Komuniti Bachok (KPT).

Di samping itu, turut dinyatakan beberapa keberhasilan dalam bidang pertanian dan keusahawanan, antaranya permohonan peruntukan, geran, bantuan dan bimbingan kepada pengusaha lembu hybrid, nelayan pantai dan laut dalam, pesawah padi dan pekebun kecil di Parlimen Bachok, pelancaran program ‘Go-Digital Kelantan’ Peringkat Parlimen Bachok di Pasar Jelawat, dan urusetia bersama penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2023 (HPPNK) Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama.

Ketiga dalam aspek Kebajikan Kawasan, Syahir merakamkan penghargaan beliau terhadap kerjasama erat bersama ADUN Pantai Irama, ADUN Tawang, ADUN Jelawat, dan Penghulu-Penghulu Mukim dalam menyelaras dan menyalurkan skim bantuan kebajikan di bawah kelolaan kerajaan negeri, di samping sumbangan peribadi beliau sendiri.

Ini termasuklah aktiviti ziarah kebajikan bersama ADUN dan penghulu terhadap pesakit kronik, warga emas, ibu tunggal, kematian, musibah dan bencana, menyantuni masyarakat serta memenuhi jemputan kenduri, jamuan kesyukuran, sukan rakyat, dan santai anak muda secara berterusan, di samping penyelarasan bantuan banjir bersama Pejabat Daerah dan Agensi Kerajaan, dengan kerjasama ADUN, Jabatan Amal, dan NGO.

Keempat, dalam bidang Pendidikan dan Belia Kawasan. Fokus utama adalah aspek kefahaman agama, termasuk sokongan penganjuran dan penajaan aktiviti pengimarahan masjid dan surau, sambutan hari kebesaran Islam, program Ihya’ Ramadhan, ceramah perdana (antaranya Ustaz Azhar Idrus) dan bengkel pemantapan agama untuk remaja, di samping memenuhi undangan pengisian program Halaqat, Munajat, Tazkirah dan Usrah di peringkat DUN dan Mukim.

Turut dikongsikan penglibatan beliau sebagai penceramah motivasi kepada calon SPM/STPM/STAM, menyelaras sumbangan NGO untuk program ‘Back To School’ peringkat Parlimen Bachok, sumbangan peribadi kepada pelajar miskin dan pelajar cemerlang, sumbangan peribadi untuk permohonan PIBG dan sekolah, serta penganjuran bengkel kerjaya dan sesi temuduga untuk lepasan SPM/TVET di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bachok.

Kelima, dalam aspek politik nasional, Syahir yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden PAS menggariskan keterlibatan beliau dalam gerak kerja politik dan pilihanraya, usaha pendidikan politik dan pembudayaan demokrasi belia dan mahasiswa, di samping keterlibatan dalam pentas wacana, diskusi, dan debat ke arah memupuk budaya politik matang dan sejahtera (BPMS), serta penyelarasan kempen kesedaran, himpunan dan bantuan kemanusiaan melalui gabungan NGO #Aid4Palestine.

Sebagai penutup, Syahir berkongsi petikan khutbah sulung Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang menyatakan, “Sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua semua. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku”.

Seperti kebiasaan, Syahir turut mengakhiri ‘Kad Laporan 365 Hari’ beliau dengan serangkap pantun:

Dengan penuh rendah diri,
Dikongsikan laporan 365 hari,
Untuk dinilai dan diteguri,
Atas taklifan yang telah diberi.

Inisiatif menyediakan kad laporan ini sangat dialukan supaya rakyat dapat menilai khidmat bakti yang telah disumbangkan oleh setiap wakil rakyat, di samping menjadi ukuran untuk pemantauan dan menambah baik perkhidmatan. – HARAKAHDAILY 20/11/2023

Ulasan