Adun desak JPS bina aliran air keluar elak banjir

Adun desak JPS bina aliran air keluar elak banjir
December 19, 2023


RANTAU PANJANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok Kamaruzaman Mohamad memberitahu sebelum ini beliau mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membina alur keluar air di Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan (PLSB).

Katanya, pintu aliran air keluar penting untuk mengelak kesan buruk banjir terhadap penduduk di kawasan terlibat.

“Saya telah berbincang bersama JPS mengenai isu benteng sebelum berlangsung persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) November lepas.

“Saya meminta pihak berkenaan membuka laluan aliran air kerana kita melihat dengan paras air yang tinggi dan pembentung dibina tidak mampu menampung aliran keluar air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pagi tadi sekumpulan penduduk Kampung Teresang dan Bendang Perol berhimpun bagi mendesak pihak berkaitan membuka laluan air di projek tersebut.

Kamaruzaman juga berkata, berbincangan juga diadakan dengan JPS Pasir Mas supaya laluan air dibuat segera bagi mengelakkan banjir berulang.

Menurutnya pelbagai usaha dilakukan termasuk cadangan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai masalah tersebut.

“Sebelum ini menteri terbabit dijadualkan datang ke Rantau Panjang, namun tidak menjadi kenyataan. Saya bercadang menyerah memorandum berkaitan isu tersebut,” katanya.

Oleh itu kata beliau usaha berbincang dengan kementerian berkenaan akan diteruskan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 19/12/2023

Ulasan