Amaran hujan tahap bahaya, buruk di Kelantan, Terengganu

Amaran hujan tahap bahaya, buruk di Kelantan, Terengganu
Disember 25, 2023 @ 3:44pm
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dan buruk di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu yang diramal berterusan sehingga esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Kelantan melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Terengganu pula melibatkan kawasan Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.

Menurut MetMalaysia, amaran hujan berterusan tahap buruk di Kelantan melibatkan kawasan Gua Musang, manakala di Terengganu, meliputi kawasan Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan di Kedah, meliputi Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling, di Perak membabitkan Hulu Perak, manakala di Pahang meliputi Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin, selain seluruh Perlis. - BERNAMA

Ulasan