Banjir: Khidmat Malaysia gerakkan pasukan menyelamat Jabatan Amal

Banjir: Khidmat Malaysia gerakkan pasukan menyelamat Jabatan Amal
December 26, 2023

KUALA LUMPUR: Pusat Pengurusan Kecemasan Dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) sentiasa prihatin dan konsisten dalam memantau perkembangan bencana dalam negara sejak 10 tahun yang lalu.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, Ia bermula apabila negara dikejutkan dengan tragedi ‘Bah Kuning’ yang melanda Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada ketika itu sehingga menyebabkan rakyat dan negara menanggung kerugian yang besar kesan bencana yang berlaku.

“Perkembangan terkini yang berlaku terutamanya yang melanda jajahan Pasir Mas yang melibatkan dua kawasan Parlimen iaitu Parlimen Pasir Mas dan Parlimen Rantau Panjang seolah-olah mengingatkan kita kepada tragedi yang berlaku pada tahun 2014 itu,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sehingga jam 10.00 malam tadi, sewaktu Khidmat Malaysia sedang mengadakan mesyuarat tergempar untuk penyelarasan tugasan bencana banjir, 16,000 mangsa telah pun dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah diwartakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Justeru, ujarnya Khidmat Malaysia membuat keputusan drastik dalam mesyuarat tersebut untuk menggerakkan pasukan Rescue daripada Jabatan Amal Malaysia (JAM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keadaan banjir menjadi lebih parah di dua buah negeri lain termasuk Negeri Terengganu dan Pahang.

Tambahnya, pasukan penyelamat JAM yang terdiri daripada anggota terlatih dalam pelbagai cabang kemahiran menyelamat seperti penyelam scuba, menyelamat di air (open surface), pengendalian bot dan pertolongan cemas telah dikerahkan di sempadan Terengganu-Kelantan iaitu di Besut bermula hari ini lengkap dengan aset menyelamat termasuk bot dan peralatan menyelam.

Dalam masa yang sama, ujarnya Khidmat Malaysia turut mengingatkan seluruh rakyat yang berhadapan dengan situasi banjir agar dapat meningkatkan kewaspadaan dan menjaga keselamatan diri agar tidak menjadi mangsa lemas atau renjatan elektrik ketika mana air masih bergenang atau dibawa arus deras sungai yang melimpah ke daratan.

“Kita tidak mahu ada lagi kedengaran mangsa-mangsa yang menemui ajal disebabkan bencana banjir yang berlaku pada ketika ini,” katanya.

Katanya lagi, bagi memastikan gerakan membantu rakyat yang terkesan berjalan lancar, BGIB yang telah diaktifkan pada awal bulan lepas merayu agar lebih ramai warga Malaysia yang prihatin dapat menghulurkan tenaga sebagai sukarelawan Khidmat Malaysia serta tidak dilupakan agar dapat menghulurkan sumbangan wang tunai mahupun barangan bantuan melalui Tabung Musa’adah Khidmat Malaysia yang telah dilancarkan beberapa hari yang lalu melalui Akaun Bank Maybank (No. Akaun: 562384542866) atau Akaun Bank Islam (No. Akaun: 12225010037517).

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 011-56553427 (Hotline). – HARAKAHDAILY 26/12/2023

Ulasan