Banjir Pahang: 287 mangsa banjir di enam PPS di Raub


SEBUAH kereta berada di hadapan rumah hampir ditenggelami banjir air Sungai Dong di Kampung Pamah Rawas di Raub, Pahang. - FOTO/IHSAN PENDUDUK PAMAH RAWAS
Oleh HARIS FADILAH AHMAD

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Mukim Ulu Dong dan Mukim Dong, Raub meningkat kepada 287 orang daripada 66 buah keluarga yang ditempatkan di enam buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Raub sehingga pukul 2.30 petang hari ini.

Pemindahan mangsa banjir dilakukan berikutan air Sungai Dong di Kampung Peruas sudah mencecah paras lebih 132 meter iaitu paras normal ekoran hujan lebat beberapa hari lalu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, PPS Surau Kampung Peruas antara lokasi pemindahan pertama dibuka pukul 12.40 pagi hari ini menempatkan 81 mangsa daripada 18 buah keluarga, PPS Balai Raya Pamah Kulat dibuka pukul 3 pagi (55 mangsa, 14 keluarga), manakala 15 orang mangsa (empat keluarga) di PPS Pertanian Pamah Rawas yang dibuka pukul 3.30 pagi.

“Turut menempatkan penduduk terjejas, iaitu PPS Balai Raya Pamah Rawas yang dibuka pukul 3.30 pagi hari ini untuk pemindahan seramai 20 orang mangsa daripada empat keluarga, PPS Kampung Lechar yang dibuka pada pukul 9 pagi juga menempatkan seramai 65 mangsa daripada 13 buah keluarga.

“PPS Dewan Orang Ramai Bukit Pampong yang dibuka pukul 9 pagi hari ini menempatkan seramai 51 orang daripada 13 buah keluarga,” kata jurucakap tersebut di sini hari ini.

Menurut jurucakap itu, mangsa banjir di PPS tersebut sudah menerima bantuan makanan serta kebajikan mereka telah dipantau oleh Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD), pihak berkuasa unit beruniform, Balai Penghulu Mukim dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) sejurus ditempatkan di situ.

Ujarnya, penduduk di pesisir sungai utama dan kawasan rendah diminta berwaspada kerana hujan lebat dan ribut petir berlaku di 11 buah daerah dan mendapatkan maklumat tepat serta sahih tentang banjir daripada JPBD, pihak berkuasa unit beruniform, Balai Penghulu Mukim dan JPKK di tempat masing-masing. – UTUSAN

Ulasan