Dr Samsuri angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar


KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, di sini.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr Johari Abdul di Kamar Khas, Parlimen.

Turut hadir ialah Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahmad Samsuri, 53, mengangkat sumpah apabila menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember lalu.

Beliau menang dengan majoriti 37,220 undi apabila memperolehi 64,998 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan penyandang Che Alias Hamid juga daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pada PRU15, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi.

Sementara itu, Johari semasa majlis itu menyeru agar Ahli Parlimen Kemaman itu sentiasa memberi perhatian kepada perkara-perkara yang menyumbang kepada faedah atau kebaikan untuk membangunkan negara.

Katanya, walaupun ahli-ahli Yang Berhormat berbeza pandapat dan pandangan dalam perkara-perkara yang dibangkitkan dalam dewan akan tetapi ia perlu disampaikan dengan bersopan dan kesusilaan seperti yang dituntut oleh prinsip Rukun Negara yang kelima.

“Kepada Yang Berhormat Kemaman secara khususnya saya berharap Yang Berhomat dapat mengimbangi peranan dan tanggungjawab yang diberikan di Dewan Rakyat dan di Dewan Negeri dengan sebaik-baiknya, memadangkan Yang Berhormat juga merupakan Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman.

“Saya yakin Yang Berhormat akan menjalankan tugas, menjalankan amanah sebagai ahli Dewan Rakyat dengan penuh tanggungjawab.

“Saya menyeru semoga Yang Berhormat dapat memberi sumbangan yang berfaedah dan bermakna kepada dewan ini serta seterusnya kepada rakyat dan negara.

“Semoga Yang Berhormat berkhidmat dengan penuh dedikasi, cemerlang. Tahniah saya ucapkan sekali lagi Yang Berhormat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/12/2023

share & sebarkan:

Ulasan