Janji bertulis pun PH tidak tunai

Janji bertulis pun PH tidak tunai
December 16, 2023


KOTA BHARU: Janji yang tertera dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk mengagihkan royalti petroleum sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.

Menteri Besar Dato Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, usahkan hendak agih 20 peratus, kadar 5 peratus pun tidak diberi sehingga sekarang.

“Janji yang dibuat itu secara bertulis pun mereka tidak laksanakan, bagaimana hendak rakyat percaya kepada kerajaan yang ada sekarang.

“Rakyat tidak boleh terima kalau mereka secara berterusan ditipu oleh kerajaan yang menguasai Putrajaya sekarang,” katanya pada Munaqasah Ucapan Dasar Presiden di Putik hari ini.

Sedangkan menurutnya juga Islam menuntut mereka yang memiliki kuasa politik perlu berlaku adil terhadap rakyat dan pihak lain.

“Siapa yang ada kuasa perlu tegak keadilan, namun apa yang berlaku sekarang tidak begitu di bawah kerajaan Madani.

“Ahli parlimen pembangkang dinafikan peruntukan sehingga hari ini, di mana ia jelas bertentangan dengan manifesto PH untuk mengagih peruntukan secara adil,” ujar beliau.

Namun situasi itu tidak berlaku di Kelantan, Kedah dan Perlis di mana pembangkang negeri terbabit tetap mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri.

Katanya sebagai ketua kerajaan negeri beliau mahu terjemahkan keadilan kepada wakil rakyat termasuk pembangkang sebagaimana yang dirakam dalam al Quran.

Sedangkan menurutnya juga peruntukan tersebut tidak terkandung dalam manifesto pada pilihan raya lepas, namun ia tetap diagih kepada Adun pembangkang.

Beliau juga berkata, usaha untuk menyatukan orang Melayu atas nama perpaduan ummah nampaknya masih ditolak Umno di bawah pimpinan sekarang.

“Lebih sedih ada pemimpin utama Umno menolak penyatuan ummah dengan menganggap PAS seperti gila talak. Sedangkan Islam menyuruh orang Islam bersatu padu, namun pemimpin Umno sekarang tidak berminat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/12/2023

Ulasan