Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang terus meningkat malam ini

Penduduk meredah banjir dengan membawa barangan keperluan untuk ke tempat lebih selamat selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Shukor, Dungun hari ini. - Foto Bernama

Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang terus meningkat malam ini
25 Disember 2023 09:40pmMasa membaca: 1 minit


KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Situasi banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang semakin buruk dengan pertambahan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini berbanding pagi tadi.

Bagaimanapun di Negeri Sembilan, banjir telah pulih sepenuhnya dengan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Lenggeng, Nilai ditutup pada jam 12 tengah hari tadi.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 9,721 orang daripada 2,962 keluarga setakat jam 8 malam ini berbanding 1,991 orang daripada 561 keluarga yang direkodkan pagi tadi.


Mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Pasir Mas ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan, sebanyak 65 PPS dibuka melibatkan enam jajahan di negeri itu iaitu Kuala Krai (20), Tanah Merah (19), Pasir Mas (17), Gua Musang (empat), Machang (tiga) dan Jeli (dua).

Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, paras air empat sungai utama di negeri itu iaitu Sungai Kelantan dan Sungai Nal di Kuala Krai, Sungai Golok di Tanah Merah serta Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas berada pada tahap bahaya.


Penduduk meredah banjir dengan menaiki bot untuk ke tempat lebih selamat selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Shukor, Dungun hari ini. - Foto Bernama

Banjir gelombang ketiga di TERENGGANU semakin memburuk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di enam daerah meningkat kepada 4,294 orang daripada 1,147 keluarga setakat jam 8 malam ini, berbanding 2,281 orang daripada 661 keluarga pagi tadi.

Ulasan