Kelantan segerakan ambilan balik tanah projek tebatan banjir

Kelantan segerakan ambilan balik tanah projek tebatan banjir

December 30, 2023

Share

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di atas penyaluran wang ihsan berjumlah RM177.96 juta kepada negeri tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, keseluruhan penerimaan wang ihsan bagi tahun 2023 kepada Kelantan ialah RM217.96 juta.

“Kerajaan negeri turut menyambut baik pengumuman perdana menteri semasa turun ke Kelantan ketika meninjau situasi banjir dan melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Kelulusan peruntukan segera bagi membina benteng sementara bagi PLSB Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta.

“Proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM910.52 juta yang akan dimulakan pada tahun 2024,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga, kerajaan negeri akan mengambil segala langkah yang perlu untuk menyegerakan urusan pengambilan balik tanah untuk projek-projek tersebut.

Kata beliau, kerajaan negeri yakin pengumuman tersebut akan memberi manfaat demi kesejahteraan rakyat Kelantan sekali gus memperkukuh semangat federalisma antara negeri dan kerajaan Persekutuan selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

Sementara itu, petang ini Menteri Besar menerima penyerahan dana sebanyak RM516,000 daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta individu untuk membantu mangsa banjir.

Program tersebut diadakan sempena pelancaran Dana Bencana Khidmat Malaysia di Pusat Khidmat DUN Meranti.

Mohd Nassuruddin berharap melalui dana tersebut dapat membantu meringankan beban mangsa banjir di seluruh Kelantan. – HARAKAHDAILY 30/12/2023

Ulasan