Mersing daerah pertama Johor dilanda banjir

MMersing daerah pertama Johor dilanda banjir
26 Disember 2023 11:57pmMasa membaca: 1 minit

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing melakukan pemantauan banjir. - Foto FB APM Johor

JOHOR BAHRU - Mersing menjadi daerah pertama di Johor yang dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak awal pagi dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali berkata, PPS Kompleks Taman Negara Endau Rompin dibuka pada jam 6 petang dan menempatkan 83 orang daripada 25 keluarga.

"Kawasan yang terjejas banjir ketika ini ialah Kampung Orang Asli Peta. Jalan masuk ke kampung tersebut juga terputus kerana dinaiki air," menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, jalan masuk ke Tenggaroh Timur juga ditutup untuk semua kenderaan selepas dinaiki air.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing pula memaklumkan pemantauan kawasan berisiko banjir telah dilakukan mulai jam 8.30 malam ini.

"Kawasan pemantauan yang terlibat ialah perkampungan Pulau Tenglu, Kampung Air Papan dan Kampung Sermin," menurut APM dalam hantaran di laman Facebook. - Bernama

Ulasan