Padam kandungan: Langkah ke arah cengkaman media

Padam kandungan: Langkah ke arah cengkaman media
December 16, 2023

Ahmad Fadhli Shaari

PENGAKUAN daripada syarikat induk Facebook, Meta dan TikTok dari China bahawa mereka menerima peningkatan permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk mengalih keluar kandungan atau menyekat akaun di platform berkenaan bagi tempoh enam bulan pertama 2023 adalah satu perkara yang sangat memalukan.

Dalam pada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering mendabik dada bahawa pentadbirannya ialah pentadbiran reformasi, bahkan kalimah inilah yang dijerit-jerit dan dilaung setiap kali perjumpaan parti-parti komponen Pakatan Harapan, hakikatnya ia hanyalah merupakan retorik untuk menyedapkan halwa telinga.

Barangkali tidak lebih seperti buah gajus yang sedap dikunyah dan dimakan, tetapi sekali-kali tidak mengenyangkan.

Bayangkan sahaja, bagaimana syarikat antarabangsa seperti Meta boleh mengeluarkan laporan bahawa antara Januari dan Jun tahun ini, kira-kira 3,100 halaman dan siaran di platform Facebook dan Instagramnya telah dihadkan daripada dilihat oleh pengguna di Malaysia kerana didakwa melanggar undang-undang tempatan.

Angka itu enam kali lebih tinggi berbanding tempoh setengah tahun sebelumnya dan tertinggi sejak syarikat itu mula melaporkan sekatan kandungan di Malaysia pada 2017.

Menurut Meta lagi, antara Julai 2022 dan Jun 2023, pihaknya mengehadkan akses kepada lebih 3,500 kandungan sebagai tindak balas kepada laporan yang dibuat oleh pengawal selia komunikasi Malaysia dan agensi kerajaan lain.

Manakala TikTok pula dalam laporan sama yang dikeluarkan bulan lalu, turut memaklumkan ia menerima 340 permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan atau menyekat kandungan antara Januari dan Jun 2023, menjejaskan 890 siaran serta akaun.

Seramai 815 pengguna kerana melanggar undang-undang tempatan atau garis panduan komuniti TikTok iaitu yang tertinggi dalam tempoh enam bulan sejak ia mula melaporkan permintaan daripada Malaysia pada 2019.

Kandungan yang dikeluarkan TikTok itu adalah tiga kali ganda berbanding kandungan yang dikeluarkan pada separuh kedua 2022.

Ertinya, kerajaan ini merupakan kerajaan yang paling takut kepada Facebook dan Tiktok berbanding dengan kerajaan era Datuk Seri Najib, Tun Mahathir, Tan Sri Muhyidin dan Datuk Seri Ismail Sabri.

Kandungan yang disekat pula ialah kebanyakannya dikatakan mengkritik kerajaan dan bukannya berhubung isu-isu keselamatan awam dan melibatkan kepentingan bersama masyarakat.

Alasan bahawa kandungan-kandungan tersebut disekat kononnya untuk mengawal fitnah juga langsung tidak boleh diterima.

Sepatutnya mana-mana penyebar fitnah itu jika benar didapati melakukan kesalahan, siasatan dan pendakwaan boleh dibuat menurut peruntukan undang-undang sedia ada.

Saya syorkan kepada kerajaan pentadbiran PMX ini, kafan dan talkinkan sahaja kalimah reformasi yang dilaungkan itu.

Usahlah dilaungkan lagi, akui sahajalah bahawa pentadbiran ini perlahan-lahan sedang bergerak kepada era cengkaman maklumat dan media. Lebih tepat lagi ialah era kuku besi.

YB AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pasir Mas
16 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 16/12/2023

Ulasan