Perjudian dalam talian semakin berleluasa di Malaysia

Senator Musoddak Ahmad

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan mengambil maklum mengenai kes perjudian dalam talian (online) yang semakin berleluasa di Malaysia.

Sehubungan itu, kementerian sedang membuat semakan secara menyeluruh ke atas akta perjudian yang sedia ada untuk memastikan kawal selia ke atas aktiviti perjudian dapat dilaksanakan secara komprehensif.

“Dengan adanya perundangan yang baharu ini kelak diharapkan kerajaan akan dapat menguatkuasa dan mengawal selia aktiviti perjudian berlesen dan perjudian dalam talian (online) secara lebih menyeluruh,” ujar kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Musoddak Ahmad di Dewan Negara, hari ini.

Mussodak dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah kementerian bercadang untuk membentangkan undang-undang bagi menangani kes perjudian dalam talian yang semakin berleluasa.

Tambah kementerian itu, kerajaan sangat menggalakkan kerjasama dari semua pihak untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti perjudian haram terus kepada agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Kerjasama dari setiap lapisan masyarakat untuk membanteras aktiviti perjudian haram diharap dapat membendung kegiatan perjudian haram secara lebih berkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2023

Ulasan