Siti Zailah kecewa PLSB Sungai Golok masih peringkat tender


Siti Zailah kecewa PLSB Sungai Golok masih peringkat tender
December 9, 2023

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR: Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dijanjikan akan dibina bagi mengatasi banjir khususnya di Rantau Panjang masih dalam proses tender.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pembinaan PLSB itu telah dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengatasi ‘banjir termenung’ di Rantau Panjang.

Kata beliau, keadaan banjir yang berlaku di Rantau Panjang sudah melebihi dua minggu dan air masih lagi bertakung.

“Banjir termenung itu berlaku di Kampung Teresang, Kampung Tok Deh dan Kampung Lembah,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menegaskan keadaan banjir termenung itu menyebabkan kawasan rumah yang dilanda banjir berbau busuk.

Siti Zailah membawa isu banjir tersebut dalam sesi persidangan Dewan Rakyat pada 18 September lalu.

Bagaimanapun, soalan tersebut baharu dijawab oleh menteri berkenaan pada sesi sidang Dewan Rakyat mengatakan: Kementerian melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) menyediakan projek berskala mega iaitu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Berskala Bersepadu (PLSB) Sungai Golok. Projek ini terdiri dari 3 fasa melibatkan pembinaan ban banjir, menaiktaraf sungai dan kolam takungan banjir, pendalaman sungai dan pembinaan rumah pam.

Menurut Zailah lagi, fasa itu sehingga kini masih di peringkat pelaksanaan di mana lawatan tender bagi projek itu dijalankan pada 13 September lalu. – HARAKAHDAILY 9/12/2023

Ulasan