Wujud universiti mesra mahasiswa bekerja sambilan


SEBAHAGIAN besar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digunakan untuk membayar kos yuran universiti dan bayaran lain seperti rumah sewa. – GAMBAR HIASAN

Oleh Meja Rencana

SAUDARA PENGARANG,

BERIKUTAN peningkatan kos sara hidup, semakin ramai mahasiswa bekerja sambilan sambil mengikuti kuliah.

Terdapat pelbagai faktor mereka terpaksa bekerja sambilan. Bagi mahasiswa dari keluarga berpendapatan rendah (B40), mereka terpaksa mencatu makanan disebabkan wang yang ada tidak mencukupi untuk menyara kos hidup terutama di kawasan bandar.

Bagi penerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), wang diterima itu hanya cukup untuk membayar kos yuran universiti dan bayaran lain seperti sewa rumah.

Oleh itu, mahasiswa perlu bekerja sambilan bagi mengurangkan beban keluarga. Bagaimanapun, bekerja sambilan menjadi sangat mencabar dan sukar kerana mahasiswa perlu mengimbangi komitmen kerja mereka dengan pengajian akademik.

Ini boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan dan keletihan. Ia juga menyukarkan mencapai potensi akademik sepenuhnya.

Bagi mengatasi masalah ini, universiti boleh menyediakan pilihan pembelajaran ­fleksibel seperti kursus dalam talian dan kelas petang untuk memudahkan pelajar bekerja dan belajar pada masa sama.

Pihak universiti juga boleh membuka lebih banyak pilihan masa bagi setiap kursus atau menyusun jadual pelajar seperti kelas pagi hingga tengah hari sahaja.

Sehubungan itu, pelajar boleh bekerja pada waktu malam dan hujung minggu. Majikan juga boleh membantu mahasiswa yang terpaksa bekerja sambilan dengan menawarkan waktu kerja fleksibel. – UTUSAN

NUR NISHA UMAIRAH MOHD. YANI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Ulasan