73 terbunuh, 171 cedera dua letupan bom gegar Iran

73 terbunuh, 171 cedera dua letupan bom gegar Iran
January 3, 2024

Dua letupan bom di Iran di bandar Kerman, Iran pada hari ini, 3 Jan 2024 menyasarkan orang ramai yang ter;libat dalam perarakan sempena ulang tahun ke-4 kematian Leftenan Jeneral Qassem Soleimani. (FOTO: Tehran Times)

TEHRAN: Sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 171 lagi cedera dalam dua letupan yang berlaku di bandar Kerman, selatan Iran, ketika negara itu mengenang ulang tahun ke-4 kematian Leftenan Jeneral Qassem Soleimani.

Letupan kedengaran berturut-turut berhampiran makam Soleimani. Tidak lama selepas kejadian letupan itu, pasukan penyelamat telah dihantar ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang cedera.

Namun, masih tiada butiran mengenai sebab letupan itu berlaku, lapor Tehran Times pada hari ini, Rabu (3 Jan).

Beribu-ribu orang telah berpusu-pusu ke Kerman untuk melawat makam Soleimani yang dibunuh semasa serangan dron Amerika Syarikat di Baghdad, Iraq pada awal 2020.

Stesen penyiaran Iran, Irib melaporkan, letupan yang menyasarkan perarakan berhampiran masjid Saheb al-Zaman di bandar selatan Kerman itu dilabelkan oleh Timbalan Gabenor Kerman sebagai ‘serangan pengganas’.

Sebuah video yang diedarkan dalam talian kelihatan menunjukkan beberapa mayat di jalan raya di lokasi kejadian.
Soleimani pada usia muda dirakam bersama datuknya pada era 1980an. (FOTO: Reddit)

Soleimani dilihat sebagai tokoh paling berkuasa di Iran selepas Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.

Sebagai komander cabang operasi luar negara Pengawal Revolusi, Pasukan Quds, beliau adalah seorang arkitek dasar Iran di seluruh rantau ini.

Beliau bertanggungjawab ke atas misi rahsia Pasukan Quds dan penyediaan bimbingan, pembiayaan, senjata, perisikan, dan sokongan logistik kepada kerajaan bersekutu dan kumpulan bersenjata, termasuk Hamas dan Hezbollah. – HARAKAHDAILY 3/1/2024

Ulasan