Apa kandungan Memorandum Rakyat kepada YDP Agong?

Apa kandungan Memorandum Rakyat kepada YDP Agong
January 24, 2024



PAGI semalam satu memorandum rakyat telah dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Apa kandungan memorandum ni?

Pertama, rakyat menyatakan kekecewaan terhadap sikap Perdana Menteri dan beberapa pemimpin negara dari Pakatan Harapan yang mengaitkan YDPA dengan isu rasuah dan mencemarkan kedudukan YDPA.

Isu ini timbul apabila Perdana Menteri secara tiba-tiba membuat hantaran dalam media sosial mengenai derma yang diterima oleh YDPA bernilai RM500 juta ke RM750 juta. Setelah dipersoal oleh rakyat akan maksud Perdana Menteri, dia terus senyap membisu tanpa sebarang penjelasan.

Kedua, rakyat meluahkan kekecewaan di atas peningkatan kadar bunuh diri di kalangan orang Melayu akibat tekanan ekonomi yang gagal dikawal oleh Kerajaan Madani.

Perdana Menteri menjanjikan nilai Ringgit akan pulih, namun nilai Ringgit semakin merosot. Ini memberi kesan kepada import barangan keperluan kerana negara mengimport sebanyak RM75.5 bilion bahan makanan.

Apabila nilai Ringgit merosot berbanding Dollar Amerika maka kos pengimportan ini turut meningkat kerana pembayaran dibuat dalam Dollar Amerika. Apabila kos untuk mengimport meningkat, ia akan ditanggung oleh rakyat.

Ketiga, rakyat meluahkan mengenai pemimpin negara yang tiada integriti dalam menguruskan negara sehingga gagal menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku.

Ini merujuk kepada sikap PH yang langsung tidak melaksanakan segala janji pilihan raya dan juga menyekat peruntukan dan royalti kepada Ahli Parlimen dan Kerajaan Negeri PERIKATAN NASIONAL atas nama dendam politik.

Keempat, rakyat khuatir mengenai pencerobohan kuasa Raja-raja Melayu yang berlaku secara kerap di bawah Kerajaan Madani. Ini merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah yang membenarkan umat Islam dan anak-anak umat Islam dimurtadkan.

Kelima, rakyat bimbang mengenai keterlibatan agensi perisikan luar negara seperti CIA yang aktif dalam negara kita semenjak Kerajaan Madani berkuasa. Mereka bimbang keselamatan negara dan YDPA serta Raja-raja Melayu.

Keenam, rakyat bimbang akan penghinaan kepada Islam yang semakin berleluasa. Insiden seperti penafsiran al-Quran, cadangan bukan-Islam bantu gubal Undang-undang Syariah dan terbaru penggunaan kalimah Ilahi yang dilakukan oleh Ahli Parlimen DAP antara bukti kepada penghinaan Islam di zaman Kerajaan Madani.

Kelapan, rakyat membangkitkan mengenai kefahaman liberal, pluralisme serta postnormal yang dibawa oleh sebahagian pemimpin semakin mengakar dalam kalangan rakyat.

Kesembilan, rakyat bimbang pemaksaan perubahan-perubahan dasar struktur-struktur Perlembagaan melalui cabang-cabang eksekutif, legislatif dan judisiari yang bakal menjejaskan kepentingan Melayu dan Islam yang dinaungi YDPA dan Raja-raja Melayu.

Di akhir memorandum, rakyat merafak sembah Kebawah Duli Yang Maha Mulia YDPA dan Raja-raja Melayu untuk pertimbangkan tindakan segera yang wajar diambil bagi menyelamatkan negara.

Apa langkah seterusnya NGO? Mereka akan meneruskan kebangkitan suara rakyat dengan menghantar memorandum kepada Raja-raja Melayu di sembilan Istana Negeri.

Ayuh rakyat semua negeri, kita teruskan momentum kebangkitan rakyat ini.

Daulat Tuanku
Kekal Tenang

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 24/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Ulasan