Bakri minat tulisan Roslan di English Section Harakah

Bakri minat tulisan Roslan di English Section Harakah
January 26, 2024

Bakri Jamaluddin

MELAKA: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin mengakui bahawa beliau adalah peminat kepada tulisan-tulisan Allahyarham Roslan Hamid di English Section Harakah suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, semasa Allahyarham mula menulis di Harakah usia beliau masih muda dan baru terlibat aktif dalam kepimpinan PAS.

“Zaman itu kita berada dalam serba kekurangan, kepayahan. Dan dari maklumat yang saya dapat beliau sebelum ini wartawan di Berita Harian dan meninggalkan Berita Harian demi untuk memperjuangkan Islam melalui penulisan-penulisan beliau,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian kepada Harakahdaily semasa ditemui usai majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Semabok, di sini, hari ini.

Bakri yang mewakili Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan badan perhubungan hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Walau pun saya tidak pernah bertemu beliau secara fizikal pada hayatnya tetapi alhamdulillah hari ini saya dapat bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain daripada Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.

“Dapat bersama kita menunaikan solat jenazah dan kita mengiringi beliau sehingga ke liang lahad. Dan inilah satu penghormatan daripada kami dari Badan Perhubungan PAS untuk Allahyarham,” ujarnya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir malam tadi di Hospital Melaka akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarham Roslan yang turut menggunakan nama pena ‘LanH’ di dalam penulisannya menyertai Harakah pada 2002 dan bersara pada 2014 dengan jawatan terakhir sebagai Pengarang Kanan. – HARAKAHDAILY 26/1/2024

Ulasan