Bentuk keluarga PAS sebagai qudwah hasanah

Bentuk keluarga PAS sebagai qudwah hasanah
January 14, 2024


KUALA LUMPUR: Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Rumah Tangga PAS Pusat berusaha untuk membangunkan jati diri individu dan keluarga khususnya dalam PAS.

Pengerusinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ini kerana dalam masyarakat hari ini sering berlaku permasalahan dalam keluarga kerana mereka tiada tokoh yang boleh dijadikan contoh.

Justeru kata beliau, peranan lajnah itu amat besar bagi menentukan individu dan keluarga khususnya dalam PAS itu berkualiti.

“Lajnah ini juga berusaha untuk memperkukuh silaturahim dalam institusi keluarga ahli PAS.

“Selain membentuk keluarga PAS sebagai keluarga qudwah hasanah dan memperkasakan susur galur waris ahli keluarga PAS,” katanya ketika berucap dalam pemukiman lajnah itu kali pertama di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga berusaha mahu membina lelaki qawwam dengan menggerakkan program untuk memperkukuh peranan lelaki sebagai pemimpin dan teras utama keluarga.

Bagi membina pasangan sejahtera kata beliau, lajnah menyusun program yang membantu pasangan dalam meningkatkan keharmonian dan kestabilan rumah tangga.

Katanya begitu juga penyediakan sistem sokongan dan sumber untuk memperkukuhkan institusi keluarga sebagai unit yang stabil dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 14/1/2024

Ulasan