Bukan-Islam mulai positif bila lihat pemerintahan PAS

Bukan-Islam mulai positif bila lihat pemerintahan PAS
January 13, 2024


SERDANG: PAS telah menerima pandangan yang semakin baik daripada masyarakat majmuk negara ini khususnya bukan-Islam kesan pemerintahan kerajaan diterajuinya di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian sebagai reaksi kepada pertanyaan kononnya masyarakat bukan-Muslim masih mempunyai stigma negatif kepada PAS.

“Sebenarnya telahpun berubah sedikit tanggapan masyarakat umum terhadap PAS kerana selama ini kita tidak pernah diberi peluang memerintah dan masyarakat tidak memahami, tidak dapat peluang untuk berada di bawah pentadbiran Islam.

“Lalu mereka tak mampu, tak sempat melihat keadilan Islam, penghormatan Islam pada bukan-Islam, hak bukan-Islam dalam agama Islam. Jadi apa yang mampu kita buat di peringkat ini ialah mendedahkan kejayaan kita di negeri yang kita menang,” serunya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama kira-kira 3,000 peserta pada Liqa’ Fikri PAS Pusat yang dilangsungkan City Meridian Convention Center, South City Plaza, di sini sebentar tadi.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terdahulu membentangkan kertas kerja beliau bertajuk ‘Pendekatan PAS Terhadap Masyarakat Majmuk’ pada program tersebut.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim menjelaskan, kedudukan selaku pemerintah di negeri tersebut menjadi kelebihan membantu PAS dalam mengemukakan realiti sebenar tadbir urus pemerintahan dasar Islam dibawa parti ini.

“Kita memelihara orang bukan-Islam yang berada di Kelantan (dalam) beragama, berbudaya, istiadat dan sebagainya. Bahkan peruntukan (tertentu),” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Malah beritahunya, perkara penting juga adalah pemerintahan kerajaan diterajui PAS menjaga maruah semua pihak dan masalah-masalah agama kaum bukan-Islam turut dilayani dengan sebaiknya.

Beliau mengajak semua ahli dan pimpinan memainkan peranan penerangan untuk menyerlahkan lagi maklumat mengenai layanan PAS di negeri-negeri tersebut terhadap bukan-Muslim agar diketahui oleh ramai pihak.

Beliau turut mengakui pentingnya sokongan masyarakat bukan-Melayu kepada PAS untuk mentadbir urus pemerintahan kerajaan dalam realiti masyarakat majmuk yang wujud menjadi realiti negara ini.

ADUN Cheka itu malah optimis untuk PAS dapat meluaskan muafakat politik dengan semua pihak termasuk kaum bukan-Islam serta Sarawak dan Sabah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 13/1/2024

Ulasan