Covid-19 di Kedah masih terkawal

Covid-19 di Kedah masih terkawal
January 3, 2024

Mansor Zakaria

ALOR SETAR: Rakyat Kedah disaran agar mengambil langkah keselamatan untuk mengelak diri daripada dijangkiti Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, walaupun situasi di Kedah masih terkawal namun mana-mana individu yang dijangkiti virus itu diminta berada di rumah (berkurung) agar ia tidak dijangkiti orang lain.

Jelasnya lagi, laporan mencatatkan bermula 24 hingga 30 Disember, kes Covid-19 di negeri itu sebanyak 1,045 kes berbanding sebelum ini 9,006 kes.

“Berlaku penurunan sebanyak 20.4 peratus (268 kes) berbanding kes kumulatif 2023 sebanyak 9006 kes dengan 41 kematian,” jelas beliau kepada pemberita di Wisma Darul Aman, hari ini.

Menurutnya lagi, 1,045 kes itu melibatkan daerah Baling (35), Bandar Baru (17), Kota Setar (132), Kuala Muda (236), Kubang Pasu (87), Kulim (457) dan Langkawi 20 kes.

Selain itu daerah Padang Terap pula dilaporkan sebanyak 14 kes, Pendang (28), Sik (11) dan lapan kes di Pendang.

“Majoriti kes adalah melalui saringan bergejala iaitu 89 peratus dan tiada kluster baharu dilaporkan.

“Kebanyakan kes bergejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Ketil itu, Majlis Agama Islam Kedah juga mengarahkan individu yang bersolat jemaah di masjid atau surau seluruh negeri memakai pelitup muka untuk mengelak penularan wabak itu.

“Setakat ini aktiviti lain berjalan seperti biasa, keadaan di Kedah masih terkawal,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 3/1/2024

Ulasan