Daim akan didakwa tuduhan tak isytihar harta pagi ini
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali - Januari 29, 2024 @ 7:57am
ajohari@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas dakwaan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta.
Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin dijangka didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi pada jam 9 pagi ini.
Kelmarin, Daim dalam kenyataannya berkata, SPRM sudah mengambil rakaman percakapannya dan memaklumkan bahawa beliau akan didakwa pada Isnin (29 Januari) atas kesalahan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang juga kesalahan berkaitan dengan pendedahan aset.
Pada Rabu, SPRM mengesahkan sudah mendapat kebenaran untuk mendakwa Daim yang memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan daripada tahun 1984 sehingga 1991, namun ia terpaksa ditangguhkan atas masalah kesihatan.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Daim hilang sebelah mata kerana jangkitan kuman
Daim tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk didakwa tak isytihar harta
Isteri Daim didakwa gagal patuh notis isytihar harta
Daim akan didakwa di Mahkamah Sesyen KL esok
Dituduh tak isytihar harta, Daim bayar ikat jamin RM280,000
Selepas Mirzan, Mokhzani pula disiasat SPRM
Daim dihadap ke mahkamah Isnin ini
Tun Daim disiasat sejak Februari, 5 kali minta tangguh isytihar aset - SPRM
Menurut agensi itu, siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.
Pada 23 Januari lalu, isteri Daim, Toh Puan Na'imah Khalid didakwa di hadapan Azura, dengan tuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(b) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.
Ia yang mana, tertuduh tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan dalam lampiran A antaranya bangunan Menara Ilham, dua kereta Mercedez Benz serta beberapa aset harta di Bukit Tunku, Taman Tun Dr Ismail dan Pulau Pinang.
Pertuduhan itu adalah mengikut seksyen 36(2) Akta SPRM (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 jika sabit kesalahan.
Menurut SPRM kertas siasatan bagi kes berkaitan telah dibuka pada Februari tahun lepas.
Ulasan
Catat Ulasan