DAP jangan main ‘test market’ hal ehwal Islam

DAP jangan main ‘test market’ hal ehwal Islam
January 3, 2024


DAP sekali lagi memanaskan gelanggang politik tanah air dengan cadangan dari salah seorang Ahli Parlimennya iaitu Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Beruas supaya kerajaan melantik pakar dari kalangan masyarakat bukan-Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Sepanjang tahun ini sahaja terdapat banyak isu yang dicetuskan oleh DAP menyebabkan kegusaran awam. (Rujuk Kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan & Media Baharu PAS Pusat bertarikh 31 Disember 2023)

DPPNJ menegaskan bahawa DAP jangan bermain ‘test market’ dalam isu-isu sebegini dek kerana usaha normalisasi ideologi sekular yang dibawa oleh DAP.

Jelas dalam Perlembagaan DAP menyatakan mengenai negara sekular, perkara ini boleh dirujuk pada kenyataan dalam laporan berita yang bertajuk ‘‘Tak perlu gugur agenda negara sekular, Malaysian Malaysia’ – DAP’ oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan juga 18 Matlamat DAP di bawah Fasal 2 Perlembagaan DAP.

DPPNJ tegas menyatakan kerajaan jangan ambil sikap pilih kasih dalam pentadbiran terhadap kenyataan-kenyataan Ahli Parlimen Kerajaan yang sentiasa menimbulkan kegusaran awam.

Sebelum ini YAB Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ditahan jam 3 pagi berikutan ‘Kenyataan berkaitan 3R’, sepatutnya pimpinan-pimpinan Kerajaan Madani pun perlu dikenakan tindakan yang sama khususnya YB Ngeh Koo Ham.

DPPNJ menjunjung Titah KDYMM Sultan Selangor yang mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal Agama Islam.

Akhir sekali, DPPNJ menyeru agar semua Ahli Parlimen terutama pihak kerajaan untuk terus fokus terhadap memulihkan ekonomi Malaysia dan menjadikan Malaysia negara yang aman, makmur dan harmoni.

AHMAD NAWFAL DATO’ MAHFODZ
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 3/1/2024

Ulasan