Debar menanti perubahan di Putrajaya

Debar menanti perubahan di Putrajaya
January 6, 2024

Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

MINGGU lepas tular pula isu Langkah Dubai. Pada awal tahun 2023 geger Langkah Jakarta. Ia cuba digambarkan mengulangi Langkah Sheraton pada Februari 2020. Biar pun berita mengenainya tidak sahih, namun kebimbangan dirasai sangat Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Buktinya beliau dilapor menyebut kerajaan Madani atap konkrit. Manakala Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula memberitahu parti itu belum terbuka hati menjalin kerjasama dengan PAS. Apa pun segala kemungkinan boleh berlaku. Seperti kata sarjana Alan & R Bell, kuasa politik berupaya mempengaruhi tingkah laku orang lain melalui paksaan atau pujukan. Oleh itu bagi mengamati apa yang berlaku tersebut ikuti pandangan Pengarah Pusat Kajian Strategi (PKS) Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof ketika ditemui LANJUSOH baru-baru ini. Transkrip oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL.

Harakah: Ada dakwaan yang mengatakan akan berlaku u-turn kali kedua. Bagaimanapun tuan melihat situasi tersebut?
Dr Wan Nik Wan Yussof

Dr Wan Nik: Pertama sekali perkembangan politik negara hari ini kita nampak dari sudut latar belakangnya bergerak selepas berlangsung Pilihan Raya Umum (PRU) parlimen yang melibatkan semua negeri.

Pada PRU tersebut kita menyaksikan menerima satu kuasa baharu di Putrajaya. Sebaliknya mandat tidak menoktahkan demokrasi secara tuntas atau mutlak kepada mana-mana parti. Tetapi di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong mengolah pembentukan kerajaan ketika itu pada budi bicara baginda.

Namun, di sana ada pihak yang berparti dan tidak berparti. Jadi latar belakang isu itu bergerak rentetan keadaan kerajaan sekarang tidak memenuhi kehendak sebahagian golongan rakyat.

Sebelum Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendapat kedudukan sebagai perdana Menteri, kita dapati beliau cukup serius untuk membawa reformasi.
Dan ia diharap oleh sebahagian besar rakyat atas komitmen untuk membela kepentingan rakyat.

Malangnya selepas beliau berada di kerusi perdana menteri kita dapati sebahagian besar apa yang pernah diungkap atau dijanjikan termasuk melalui menifesto Pakatan Harapan (PH) tidak dijelmakan sebagai satu realiti.

Yang kedua, kalau sepanjang kempen PRU sebelum ini kita dapati serangan yang begitu kuat PH terhadap Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Jadi di sebalik serangan itu kita dapati ada perkara bersifat tegas.

Malah difahami menolak langsung nilai integriti di sisi pimpinan PN dan BN pada pandangan Anwar. Namun apabila berlaku pembentukan kerajaan di sebalik olahan kuasa oleh istana, semua itu ditenggelamkan.

Maka apa yang rakyat nak lihat ialah betul-betul sebuah kerajaan memenuhi nilai yang diperjungkan oleh rakyat Malaysia. Itu perlu pemimpin yang betul-betul berintegriti dan bercakap benar serta melaksanakan apa yang dicakapkan.

Kerajaan sekarang didominasi PH dan parti terbesar iaitu DAP dan disokong PKR dan Amanah. Kemudian turut disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), maka kita dapati pembentukan kabinet serta penyusunan kabinet itu sendiri menjanjikan sesuatu yang tidak penuhi selera rakyat.

Buktinya DAP diberi peranan besar melalui beberapa portfolio kanan. Jelas menampakkan penguasaan dan malah pemimpin DAP secara terbuka mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti dan nilai 3R (agama, raja dan bangsa).

Peliknya walaupun nilai 3R tetapi pihak di sebelah sana tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Malah kita juga melihat pengamal-pengamal media termasuk media sosial dan media baharu diambil tindakan di sebalik isu 3R. Jadi semua itu meletakkan sebagai suatu bayangan ketidakpuasan di sebelah pihak dan tekanan kepada satu pihak lain.

Mungkin tindakan terbabit kerana kerajaan Madani benar-benar merasai tergugat?

Kerajaan rasa tergugat apabila media sosial milik penyokong PN sering diberi tekanan atas nama isu 3R, tetapi di sebelah kerajaan khususnya pimpinan DAP tidak diambil sebarang tindakan.

Ketika menjelang pilihan raya kecil (PRK) Kemaman veteran DAP Lim Kit Siang mengungkit isu kelayakan perdana menteri dalam mentafsirkan perlembagaan negara yang tidak jelas itu sebagai peluang untuk rakyat bukan Melayu.

Isu tersebut sedikit sebanyak mencabar nilai majoriti negara ini. Jadi apabila diungkitkan hak minoriti boleh menjadi perdana menteri semacam ia satu statement yang disengajakan.

Mereka cuba meletakkan premis di sebalik nama demokrasi di mana golongan minoriti boleh menguasai majoriti dengan taktik politik.

Isu yang diketengah pemimpin DAP lebih hangat dengan desakan supaya diadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sedangkan perkara itu sudah lama ditiadakan dan kalau nak mengadakan pilihan raya PBT beberapa isu yang bersifat sensitif akan bangkit semula antaranya semua area bandar sudah jelas dari segi perwakilan.

Gugatan yang berlaku itu mungkin boleh mencetus semula penyatuan Melayu?

Isu tersebut boleh mencetus lagi semangat perpaduan, toleransi dan permuafakatan di atas nama perpaduan nasional. Cabarannya apabila kuasa politik di bandar diberi kepada satu kaum sahaja.

Kita berfikir begitu apabila diadakan pilihan raya PBT, sebabnya lebih 80 peratus di kawasan pantai barat diwakili oleh kaum Cina. Jadi apa hak orang Melayu dan india dan lain-lain kaum yang minoriti di kawasan bandar besar.

Calon Melayu sudah pasti tidak akan menang, itu bahasa demokrasi bagi memberi signal. Jadi sebab itulah ia agak sensitif.

Sebab rasional pemimpin negara sebelum ini meniadakan pilihan raya tersebut kerana dari sudut demografinya orang Melayu dan India tidak dapat mengimbangi majoriti orang Cina di bandar besar.

Isu-isu sebegitu dibiarkan berlaku pada era kerajaan Madani. Itu belum lagi kita berbicara mengenai sosio ekonomi rakyat, tekanan hidup dalam suasana inflasi yang dikatakan semakin menekan.

Keselesaan hidup rakyat sekarang kita dapati merudum. Sebelum ini pun ada kajian terhadap tahap ketidakpuasan hati kepada pentadbiran kerajaan di bawah perdana menteri sekarang meningkat berbanding enam bulan sebelum itu.

Apabila tahap ketidakpuasan hati meningkat sudah pasti dari sudut keresahan rakyat juga meningkat. Semua senario inilah sebenarnya dari sudut lojiknya penyusunan semula kedudukan kuasa politik di Putrajaya boleh dan wajar berlaku.

Cuma disebabkan oleh perlembagaan kita menetapkan bahawa sebuah kerajaan itu boleh dibentuk hasil sokongan padu dan diyakini mendapat suara majoriti atau sokongan terbanyak ahli-ahli parlimen kepada satu pihak atau seorang yang akan menjadi perdana menteri.

Kalau perkara ini dapat diuruskan secara lebih baik maka semestinya kerajaan yang ada hari ini perlu diberi satu mandat baharu.

Tetapi halangan undang-undang yang disebut perlu ahli parlimen yang menyokong suara terbanyak.

Sehingga kini kita dapati bahawa PMX masih lagi ada sokongan majoriti ahli parlimen. Malah Umno secara ‘en bloc’ memaksa ahli parlimen BN menyokong Anwar. – HARAKAHDAILY 6/1/2024

Ulasan