‘Jangan jadi barua pada puak-puak ni…’

‘Jangan jadi barua pada puak-puak ni…’
January 7, 2024

Muhammad Sanusi dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap di Kuala Nerang. Terengganu pada hari ini, 7 Jan 2024.

KUALA NERANG: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan agensi penguatkuasaan tidak menjadi ‘barua’ (suruhan) kepada pihak yang memiliki kepentingan politik tertentu.

“Ini semua plot-plot. Bukan ada kerja depa (mereka) ni. Guna agensi awam untuk kepentingan peribadi untuk memuaskan perasaan sendiri,” katanya mengulas mengenai dakwaan plot yang berlaku dalam pelbagai isu termasuk penahanan reman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membabitkan isu rasuah RM6 juta.

Menteri Besar Kedah itu berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra, di sini, hari ini.

Menurut beliau dalam video yang dimuatkan dalam Facebooknya, wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.

“Syarikat terbabit mempunyai konsesi projek loji rawatan air di negeri ini dan berharap konsesi itu akan disambung.

“Namun, kerajaan negeri tidak menyambung konsesi syarikat itu dan wang sumbangan RM6 juta terbabit dipulangkan semula,” katanya yang juga merupakan Presiden KFA.

Tambah Muhammad Sanusi, sumbangan syarikat itu dibuat ketika pasukan bola sepak Kedah masih di bawah pengurusan KFA.

Beliau dalam pada itu menegaskan akan mendedahkan lebih banyak plot secara bersiri selepas ini sekiranya pihak yang berkepentingan mahu terus ‘berperang’ dengannya.

“Depa (mereka) nak bagi Kedah nampak buruk dengan rasuah, saya tak sambung konsesi mana boleh kata rasuah.

“Semua persatuan bola sepak di negara ini ada terima hasil sumbangan, derma. Mana ada untuk keuntungan urus pasukan bola,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/1/2024

Ulasan