Jawatan politik: PAS lantik individu layak, bukan kejar elaun

Jawatan politik: PAS lantik individu layak, bukan kejar elaun
January 13, 2024


SERDANG: PAS membuat pelantikan-pelantikan politik pada jawatan diperuntukan dengan memastikan ia diisi oleh mereka yang berkompetensi mengikut kategori, kemampuan serta kepakaran.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan, parti sama sekali tidak meletakkan seseorang ke sesuatu jawatan dengan tujuan untuk mengambil elaun atau mengambil hati individu tersebut.

“Dia satunya kita khianat kepada amanah rakyat. Yang keduanya adalah dia mendatangkan fitnah kepada parti kita,” ujar beliau dalam Liqa’ Fikri PAS Pusat di City Meridian Convention Center, South City Plaza, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, adalah amat perlu disedari bahawa perkara sedemikian adalah diperhatikan oleh semua pihak terutama para pegawai kerajaan yang mengharap sesuatu jawatan dilantik orang berkelayakan.

Kerana itulah PAS terangnya, melihat profail setiap individu akan dilantik dan tidak berbuat sepertimana amalan parti-parti politik lain yang pernah membuat lantikan untuk mengambil elaun semata-mata.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut menegaskan bahawa PAS tidak akan mewujud dan melangsungkan budaya sedemikian yang jelas boleh mendatangkan fitnah kepada jemaah dan parti.

Sebaliknya kata beliau, PAS komited memastikan agar dapat melantik mereka yang mampu untuk memegang amanah bersesuaian kelayakan dimiliki.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan bahawa PAS mengisi ruang politik kerana memenuhi tanggungjawab untuk memenangkan parti bagi melaksanakan pemerintahan Islam.

Jelas beliau yang dilihat sebagai nasihat dalam memikul amanah jawatan, terdapat banyak perkara tidak dapat disempurnakan melainkan dengan kuasa politik pemerintahan dan tadbir urus kerajaan.

“Kalau boleh buat semua peringkat Islam tanpa kuasa, tak payah kita gerak. (Cukup) dalam dakwah saja. Tapi oleh kerana ada beberapa perintah al-Quran tak boleh buat, maka kena ada kuasa politik.

“Sebagaimana kata Saidina Umar al-Khattab, mana-mana perintah Allah dalam Quran, yang tak boleh buat. Oleh kerana tak ada kuasa politik.

“Aku akan gunakan kuasa politik yang aku ada bagi menyempurnakan perintah Allah dalam al-Quran,” ujarnya berbicara soal tanggungjawab. – HARAKAHDAILY 13/1/2024

Ulasan