Kebanjiran buruh asing: Apa kerajaan buat?

Kebanjiran buruh asing: Apa kerajaan buat?
January 23, 2024


PEMBANTAIAN berdarah Gaza yang sudah melepasi 100 hari lama sememangnya memberi kesan ekonomi ke atas negara haram Israel. Bukan saja sekatan ekonomi kumpulan Houthi terhadap kapal-kapal sang kolonialis Zionis dan negara penaja mereka bakal menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan, namun ianya juga dikatakan telah memberi kesan sama seperti sebuah kegawatan ekonomi. Mood perang bukan saja telah menyebabkan kadar permintaan menurun, malah lebih daripada setengah perniagaan juga dilaporkan mengalami kerugian setinggi 50 peratus.

Dari satu sisi lain Israel kini berdepan dengan masalah tenaga kerja. Menurut kajian yang dijalankan pada November 2023, sebanyak 18 peratus tenaga kerja telah dipanggil untuk menyumbang tenaga dalam sektor ketenteraan dan ini telah menyebabkan kelompongan besar dalam pasaran tenaga kerja rejim aparteid itu. Israel juga dikatakan kini terpaksa bergantung kepada program seperti Taglit Birthright yang membawa remaja dalam lingkungan umur 18 hingga 26 tahun bercuti ke Israel selama sepuluh hari secara percuma. Ianya terbuka kepada mereka yang mempunyai ibu bapa berlatar-belakang Yahudi. The Times of Israel pada 19 Disember 2023 melaporkan bahawa seramai 23,000 peserta bakal dibawa ‘melawat’ Israel bermula Januari ini. Malah seramai 3,300 alumni program ini juga dilaporkan telah menjadi sukarelawan di beberapa kibbutzim bagi menuai hasil ladang disebabkan ketiadaan ribuan pekerja asing.

Hakikatnya, sebuah krisis dalam apa juga bentuk memerlukan perancangan dan pengurusan sumber yang lebih efisien dan berkesan. Seeloknya negara kita yang bergantung kepada jutaan tenaga kerja asing mengambil iktibar dan bersedia.

Di Malaysia pada 2022, pasca COVID-19, majikan Malaysia dilaporkan Reuters ‘rugi’ puluhan bilion Ringgit, dek terlepas jualan kerana kekurangan tenaga kerja migran dalam beberapa sektor seperti pembuatan, perladangan dan pembinaan.

Terbaru mantan Ketua Menteri Sabah dilaporkan telah menulis surat kepada Perdana Menteri memohon supaya kerajaan mempertimbangkan permohonan bagi meluluskan permit 15 tahun bagi tenaga kerja asing berkemahiran bagi menuai buah sawit. Dasar sedia ada, pembaharuan permit setahun sekali dilihat tidak lagi mampu membekalkan aliran sihat tenaga kerja berkemahiran khasnya apabila negara bakal terdedah dengan saingan dari Indonesia, seperti wilayah Ibu Kota Nusantara (IKN) yang berpusat di Kalimantan Timur.

Sebelum ini juga Yang Dipertua Dewan Negara, menegur restoran mamak kerana dikatakan masih mahu mengimport pekerja dari India, sambil memberikan contoh restoran serupa boleh berjaya dengan barisan pekerja tempatan. Timbalan Menteri Sumber Manusia (KSM) Datuk Mustapha Sakmud pula menerangkan kebenaran menggajikan pekerja asing bagi tiga sub sektor iaitu tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas adalah bersifat one off semata.

Walaupun pihak kerajaan sering mengingatkan supaya majikan Malaysia mengutamakan pekerja tempatan, hakikatnya negara kita masih tidak berupaya mengikis kebergantungan kepada tenaga kerja asing, khasnya beberapa sektor seperti perkilangan, perladangan dan perkhidmatan yang dikatakan tidak diminati pekerja tempatan kerana dianggap sebagai kotor, berbahaya dan sukar.

Kajian Khazanah Research Institute (KRI) pada 2019 pula mendapati bahawa pekerja asing tidak mengambil kerja warga tempatan namun memperakui ianya mempunyai kesan tidak sihat kepada struktur transformasi ekonomi Malaysia jika terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing.

Jadi tentulah kita amat gusar dengan laporan yang baru dikeluarkan seminggu lepas apabila Berita Harian melaporkan lebih 500,000 buruh asing ‘menganggur’ atau tidak diupah langsung oleh mana-mana majikan dan bekerja dalam bidang bukan sektor yang dibenarkan di negara ini. Tentunya kita tidak mahu mereka ini bersaing dengan warga tempatan bagi mendapatkan ‘kerja kosong’ yang terdapat di pasaran sehingga mencetuskan kegusaran awam atau lain-lain permasalahan sosioekonomi. Pendedahan Buletin TV3 semalam berkenaan aktiviti kumpulan ini di Beranang, Selangor juga perlu diberi perhatian.

Beberapa hari sebelumnya Polis Pulau Pinang telah memberkas empat warga Nepal kerana terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian di sebuah pusat panggilan dengan keuntungan sebanyak RM15,000 hingga RM20,000 sebulan. Malah beberapa siri operasi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga berjaya memberkas kumpulan warga asing yang berniaga tanpa lesen di beberapa lokasi tumpuan ramai. Seminggu lepas dilaporkan kebun-kebun haram warga asing menguasai pasaran sayur di Lembah Klang. Ini belum lagi mengambil kira kes-kes jenayah serius lain yang membabitkan warga asing.

Tentu juga kita masih ingat akan demo yang berlaku di Teluk Kumbar, Pulau Pinang menolak pembinaan asrama pekerja asing berskala besar kerana khuatir akan impak negatif kepada kehidupan harian masyarakat tempatan. Perincian kita dalam menguruskan keberadaan tenaga kerja asing dan keluarga mereka, 15 tahun lama juga perlu diperhalusi secara cermat dan bijak. Hal ini perlu dijawab kerajaan sebelum akur dengan gesaan industri.

Dalam masa yang sama tentunya kita setuju bahawa kerajaan harus bersikap tegas terhadap mana-mana syarikat yang menipu pekerja asing seperti tindakan yang diusahakan ke atas lima majikan di Johor. Kita juga tidak mahu mereka dianiaya seperti yang menimpa 751 pekerja warga Bangladesh yang telah memfailkan kes buruh, menuntut tunggakan gaji keseluruhan berjumlah RM2.21 juta. Namun amalan baik seperti ini rasanya tidak akan mampu mempersedia negara mengurangkan ‘ketagihan’ kepada tenaga kerja asing.

Lidah pengarang sebuah akhbar tempatan melaporkan kita mempunyai 2.4 juta tenaga kerja asing berdaftar dengan ratio seorang pekerja asing bagi setiap tujuh orang pekerja tempatan. Namun hampir 3 juta pekerja asing tidak berdaftar juga dijangkakan telah menyumbang kepada ratio tersebut.

Melihat kepada scenario ini penting untuk kita ambil maklum bahawa kadar kelahiran hidup di Malaysia dilaporkan telah berkurangan sehingga 2.8 peratus pada suku ketiga 2023. Menurut laman sesawang Macrotrends pula sejak 2020 kadar kelahiran negara telah mengalami penurunan. Walaupun populasi negara bertambah sebanyak 1.8 peratus, tentunya jasa bakti pasangan yang mempunyai keluarga besar seperti pasangan Melayu yang dikongsikan sebuah akhbar berbahasa Cina, yang tular dek komen-komen negatif yang dilemparkan pembacanya.

Tidakkah mereka sedar bahawa pertambahan populasi bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi? Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir sendiri pada 1982 dan sekali lagi pada 1984 mengetengahkan ‘Dasar Kependudukan Malaysia ke Arah 70 Juta Penduduk’. Ketika itu, sekitar 1981 sehingga 1985 kadar pertumbuhan kependudukan negara adalah sebanyak 2.5 peratus.

Di China walaupun kerajaan republik itu telah menghentikan one-child policy sejak 2015, laporan terkini beberapa hari lepas merekodkan penguncupan sebanyak 5.7 peratus populasi negara itu. Diburukkan lagi dengan populasi yang semakin menua dan tentunya natijah one-child policy sekian lama, pertumbuhan penduduk China berkurangan sebanyak 2.75 juta orang pada 2023. Meningkat daripada penguncupan seramai 850,000 orang pada tahun sebelumnya.

Ianya membimbangkan kerana dikatakan bakal memberi kesan kepada ekonomi, khasnya dengan peningkatan kos penjagaan warga emas dan sokongan kewangan seperti pencen yang dikhuatiri gagal dipenuhi dengan pengurangan populasi yang bekerja. Menurut Akademi Sains China pula sistem pencen sedia ada bakal kehabisan dana menjelang tahun 2035. Lebih memburukkan populasi republik yang berumur 60 tahun (umur persaraan kebangsaan) di China juga bakal meningkat daripada 280 juta kepada 400 juta.

Pernah juga dikongsikan penulis sebelum ini jiran kita Singapura juga terpaksa ‘mengimport’ warga Republik Rakyat China kerana mahu mengimbangi formula lebih 70 peratus etnik Cina, ‘rahsia’ kejayaan the red dot, seperti yang pernah ditegaskan mendiang Presiden Lee Kuan Yew.

Tidak keterlaluan juga kiranya kita mengambil iktibar daripada fenomena ‘kampung hantu’ yang berlaku di Jepun. Terkini Jepun dilaporkan menawarkan 10 juta rumah percuma atau pada kos rendah demi mengurangkan penurunan populasi dan mendepani permasalahan populasi yang semakin menua, khasnya di kawasan-kawasan pendalaman. Al Jazeera pula melaporkan pada Julai 2023, populasi Jepun bakal mengucup kepada 87 juta orang daripada 150 juta orang dalam masa 50 tahun akan datang.

Melihat kepada semua ini, khasnya ketika kumpulan marhaen di Malaysia dihimpit dengan kenaikan harga barang dan makanan di kala kenaikan gaji purata hanya cukup makan saja, mungkinkah sesuai untuk kerajaan mula membantu pasangan yang mempunyai anak ramai?

Program seperti child support yang diamalkan banyak negara maju contohnya, sememangnya terbukti berjaya mengurangkan child poverty, yang berlegar sekitar 19 peratus di Malaysia menurut laporan terkini. Ianya juga sebagai gesture kerajaan berterima kasih kepada mereka-mereka yang menyumbang membantu kerajaan melahirkan masyarakat Madani, sumber bekalan tenaga kerja dan kesinambungan perbendaharaan negara di masa depan.

Dan ketika sesetengah kumpulan dalam negara ini sememangnya tidak berminat untuk berkhidmat dalam perkhidmatan seperti polis dan tentera, kita juga tentunya perlu berusaha supaya perkhidmatan sepenting itu tidak lumpuh kelak apabila kita memilih untuk tidak membuka pengisian perjawatan sektor tersebut kepada tenaga kerja asing.

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 23/1/2024

Ulasan