Kebanjiran warga asing: Siapakah ‘pengkhianat’ itu?

Kebanjiran warga asing: Siapakah ‘pengkhianat’ itu?
January 23, 2024



PENGUATKUASAAN menangani warga asing sepanjang minggu awal tahun 2024 dilihat cuba dijulang oleh pihak tertentu sebagai satu kejayaan hebat. Warga asing ‘kena kutip’ dan lokasi tumpuan ‘dibersihkan’, wilayah ‘dijajah’ telah diamankan serta ‘kekuasaan’ mereka telah ‘ditumbangkan’.

Suasana ‘Little Dhaka’, ‘Little Kathmandu’, ‘Little Hanoi’ dan pelbagai gelaran lain yang menggambarkan kebanjiran warga asing di sesuatu kawasan, tiba-tiba seakan telah lenyap. Ianya seperti satu usaha menggembirakan rakyat tempatan yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan.

Namun, adakah isu ini sebenarnya telah selesai? Atau sebenarnya satu wayang bagi meredakan seketika desakan awam yang semakin kritikal mempertikai? Sudah tentulah dalam gempuran operasi, pihak yang menjadi sasaran tak menunggu di ‘port’ atau di sarang untuk ditangkap, ‘sure’ lari menyorok.

Jika disoroti, isu ini bukanlah baru, tetapi telah menjadi barah besar dalam negara dan rakyat Malaysia sudah penat mengenainya. Tenaga warga asing yang asalnya merupakan satu keperluan khususnya kepada sektor pekerjaan, tetapi kini sudah bertukar menjadi ancaman dan beban.

Ada banyak pendedahan atau pembongkaran berat serta eksklusif di sebalik isu ini yang dilihat berlaku disebabkan kepentingan pihak tertentu. Sedangkan rakyat dan negara ini menanggung akibat, manakala pihak penguat kuasa pula sering menjadi mangsa keadaan kerana dipersalahkan.

Pembawa masalah

Kebanjiran warga asing telah merekodkan banyak isu terutama berkait masalah sosial dan ekonomi dalam masyarakat, termasuk jenayah. Koloni mereka bukan sahaja meneroka tanah pertanian secara haram, malah seolah sedang ‘membangunkan’ pekan atau bandar sendiri.

Perasaan rimas rakyat Malaysia mula bertukar menjadi mimpi ngeri; dari hanya terpaksa berkongsi pengangkutan awam dan subsidi, warga asing semakin berkuasa di sini. Mereka bukan hanya mengambil alih ekonomi, hatta wanita tempatan pun sudah dapat dibuat isteri atau dibawa lari.

Masalahnya, kebanjiran warga asing di negara ini bukanlah disebabkan mereka datang menceroboh bolos di pintu sempadan atau lorong-lorong tikus yang wujud. Tetapi mereka sememangnya ‘diundang’ bagi memenuhi keperluan di sektor pekerjaan, namun ada pihak di negara ini yang meraih kesempatan.

Bahana rasuah

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya pernah menegaskan betapa kroniknya isu ini. Katanya, tahap korupsi pihak bertanggungjawab amat membimbangkan dan beliau mendedahkan isu rasuah dalam masalah ini:

1. Permohonan kuota pekerja asing oleh syarikat-syarikat. Bagi memperolehi kuota ini, syarikat-syarikat terpaksa membayar rasuah untuk memastikan kelulusan kuota dari segi jumlah pekerja asing yang dibawa masuk.

2. Peranan ejen-ejen pekerja asing yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan mengenakan pelbagai yuran proses termasuk visa dan permit kerja.

3. Merasuah penguat kuasa di pintu-pintu masuk negara untuk mempercepatkan proses keluar dan masuk bagi pendatang asing yang tinggal melebihi tempoh, terlibat dengan jenayah, disenaraihitam, tidak memenuhi syarat-syarat kemasukan dan sebagainya.

4. Penyalahgunaan visa-visa pelajar asing bagi tujuan bekerja, berniaga dan terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

5. Melindungi kegiatan pelacuran, rumah urut, perjudian, macau scam yang kebanyakan pekerjanya adalah terdiri daripada warga asing.

6. Memonopoli sektor-sektor perniagaan secara tanpa lesen atau menggunakan premis dan lesen perniagaan rakyat tempatan.

7. Bekerja di sektor-sektor pembinaan, perladangan, perniagaan dan perkhidmatan secara tidak sah.

8. Mendapatkan kerakyatan dan sijil beranak dengan membayar rasuah.

9. Memandu tanpa lesen yang sah.

10. Tekong-tekong darat yang menyeludup pendatang tanpa izin masuk melalui lorong-lorong tikus seperti laut, hutan dan sempadan negara.

11. Meneroka tanah secara haram untuk tujuan penginapan dan pertanian, juga menjalankan aktiviti perlombongan secara haram.

12. Terlibat dalam penyeludupan barang-barang larangan termasuk dadah, senjatapi, barangan kawalan seperti petrol, tepung, gula dan minyak masak.

13. Rasuah jalanan bagi mengelakkan sebarang bentuk tindakan walaupun mempunyai dokumen yang lengkap.

14. Rasuah bagi mendapatkan darjah kebesaran dan status sosial dalam masyarakat.

15. Merompak kekayaan hasil laut dengan menceroboh lautan negara.

16. Bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO), tukang urut, pelacuran di pusat hiburan dan spa.

‘Pengkhianat’ pegang kuasa

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Abdul Kadir Jasin pernah menulis mengenai pengkhianatan kalangan mereka yang memiliki kuasa ini. Beliau memetik pengajaran menerusi cerita ringkas seorang individu bernama Andrew Lu Eng Leong, 58 tahun dari Singapura.

Lu Eng Leong katanya, meninggalkan Singapura pada tahun 1991 kerana menyangka dia dikehendaki polis setelah terlibat dalam satu pergaduhan kumpulan samseng. Lelaki itu lari ke Malaysia di mana dia memperoleh kad pengenalan Malaysia dengan ‘membayar’ dan menggunakan butir peribadi palsu.

“Dengan ‘MyKad’ itu dia memperoleh pula ‘Pasport Malaysia’ yang digunakannya untuk pulang ke Singapura bagi melawat keluarganya. Jun tahun lalu (2022), rahsia beliau terbongkar apabila Pihak Berkuasa Imigresen dan Kawalan Sempadan Singapura (ICA) mendapati dia menggunakan banyak pangenalan (identities).

“Pada 29 Disember 2022, Mahkamah Singapura menghukum Lu 20 minggu penjara setelah mengaku bersalah atas lima tuduhan Akta Imigresen. Kalau ‘scam’ Lu itu tidak dikesan oleh pihak berkuasa Singapura, kita mungkin menganggapnya sebagai seorang warganegara biasa Malaysia.

“Tetapi Lu bukanlah satu-satunya orang asing yang menggunakan saluran rasuah dan identiti palsu sehingga berjaya memperoleh ‘MyKad’ dan ‘Pasport Malaysia’. Jawapan kepada Parlimen mengakui 1.2 juta rakyat China yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong tetapi tidak ada rekod mereka keluar.

“Jadi janganlah hairan kalau mereka sekarang memonopoli perniagaan runcit, jadi tukang urut, isteri (atau suami) penanam Musang King dan perempuan (atau lelaki) simpanan tauke,” katanya.

Kesali beliau, dari zaman berzaman itulah ceritanya di mana orang asing memasuki Malaysia secara halal, harus, sunat, makruh, haram dan macam-macam lagi kerana perbuatan khianat ‘orang kita’ sendiri.

Oleh itu katanya, tak guna terpekik terlolong marahkan orang Rohingya, Bangla, Afrika, Arab, India, China, Acheh, Kemboja dan segala mak nenek membanjiri negara ini dan menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi secara halal dan haram.

Akhir sekali, rakyat pasti masih ingat bagaimana seorang individu penting (VIP) ‘melepaskan’ warga asing yang ditahan Pegawai Imigresen di KLIA tahun lalu. Paling negara terkejut apabila VIP yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) dilepas dan dibebaskan mahkamah.

IZWAN ABDUL HALIM

Ulasan