Kenaikan paras air laut ancaman terbesar negara

KENAIKAN paras air laut di Malaysia menyebabkan perubahan zikal yang mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan pesisir Malaysia seperti Terengganu, Kedah dan Selangor. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Oleh Meja Rencana

SAUDARA PENGARANG,

KENAIKAN paras air laut merupakan isu global yang semakin mendapat perhatian serius.

Sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai garis pantai terpanjang di dunia sepanjang 4,675 kilometer di mana 2,068 kilometer di Semenanjung dan 2,007 di Sabah dan Sarawak juga tidak terhindar dari ancaman terbesar fenomena ini.

Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bahawa purata kenaikan aras laut bagi tahun 2000 hingga 2050 adalah 0.25 meter iaitu bersamaan dengan lima milimeter setahun.

Kenaikan paras air laut di Malaysia menyebabkan perubahan fizikal yang mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan pesisir Malaysia seperti Terengganu, Kedah dan Selangor.

Selain itu, fenomena ini juga menyebabkan berlakunya proses erosi pantai. Erosi pantai merupakan satu proses penghakisan tanah di kawasan pantai akibat daripada gelombang, arus air laut dan manusia.

Antara kawasan yang kritikal dengan erosi ini adalah kawasan pantai sekitar Bachok, Kelantan, Pantai Puteri, Melaka dan Seberang Takir di Kuala Nerus, Terengganu. Kesan kepada hidupan laut juga sangat mencemaskan kerana hidupan laut adalah satu aspek penting dalam konteks ini.

Peningkatan jumlah gas karbon dioksida (CO2) di udara menyebabkan kenaikan suhu air laut apabila gas tersebut meresap masuk ke dalam laut.

Perubahan suhu air laut yang mendadak dan kenaikan paras air laut boleh menyebabkan gangguan kepada hidupan marina seperti terumbu karang dan ikan.

Terumbu karang merupakan tempat tinggal bagi 25 peratus hidupan laut seperti ikan, cacing dan moluska, ia bertindak sebagai benteng serta perlindungan pantai daripada ombak yang kuat.

Kelunturan terumbu karang akan merugikan bukan sahaja hidupan laut bahkan masyarakat dari segi keselamatan. Hal ini turut memberi kesan kepada kemusnahan pantai yang sebelum ini dihiasi dengan pelbagai warna terumbu karang dan spesies hidupan laut lain.

Kenaikan paras air laut juga memiliki kesan negatif kepada sektor ekonomi. Hal ini mengancam kegiatan perikanan dan pelancongan di kawasan yang terjejas. Industri perikanan antara yang terjejas akibat daripada kerosakan terumbu karang dan kurangnya hidupan laut seperti ikan di kawasan laut.

Masyarakat yang paling terjejas akibat fenomena ini adalah para nelayan kerana pekerjaan ini merupakan punca bagi pendapatan mereka. Fenomena ini tidak hanya memberi kesan kepada sektor ekonomi tetapi menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan di Malaysia.

Sektor pelancongan juga tidak dapat lari daripada kesan fenomena ini. Hal ini kerana, sektor pelancongan bergantung kepada keindahan pantai dan pulau. Kelunturan terumbu karang dalam laut menyebabkan keindahan pantai dan pulau semakin berkurang sekaligus menjejaskan sektor pelancongan apabila tiada daya tarikan untuk pelancong datang ke Malaysia.

Kesimpulannya, kenaikan paras air laut di Malaysia bukan sahaja tanggungjawab pihak tempatan namun perlu diingatkan bahawa isu ini merupakan isu global yang kian mendapat perhatian serius dalam kalangan masyarakat.

Dalam menghadapi isu ini, pihak bertanggungjawab di Malaysia perlu mengatur langkah dengan segera agar perkara ini tidak menjadi lebih teruk dan serius.

Diingatkan semula bahawa hanya dengan tindakan bersama dan komitmen global barulah kita dapat melindungi bumi daripada kerosakan. – UTUSAN

NUR SHAFIQAH ABDU
Universiti Sains Islam Malaysia

Ulasan