PADU: Pastikan hak privasi dan data rakyat selamat

PADU: Pastikan hak privasi dan data rakyat selamat
January 3, 2024

PANGKALAN Data Utama (PADU) yang baharu dilancarkan kerajaan perlu memastikan segala kebimbangan dari isu-isu utama agar segera diatasi. Jaminan wajib diberikan terutama perlindungan data peribadi agar mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Juga ke atas hak privasi rakyat, kerahsiaan data, keselamatan siber dan risiko akses oleh pihak yang tidak berkenaan. Perkongsian data harus dilaksanakan dengan tegas dan berhati-hati untuk mengelakkan penyalahgunaan.

Dalam konteks sistem PADU, sangat penting untuk mempertimbangkan PDPA dan Dasar Perkongsian Data Kebangsaan (NDSP) Malaysia. PDPA menyediakan rangka kerja untuk melindungi data peribadi yang harus dipatuhi dalam pengumpulan dan penggunaan data.

PDPA dan NDSP juga mesti dipatuhi sepenuhnya untuk mengelakkan penyalahgunaan data yang bercanggah dengan akta dan dasar tersebut. Apatah lagi NDSP dapat menyokong perkongsian data antara agensi kerajaan dengan cara yang bertanggungjawab.

Oleh itu, perlindungan data peribadi dan pengurusan data yang selamat perlu menjadi keutamaan dalam operasi PADU untuk menjamin privasi dan keamanan maklumat rakyat.

Saya menyarankan agar kerajaan mengadakan perbincangan lebih mendalam dengan pelbagai pihak, termasuk pakar teknologi, pakar privasi dan wakil rakyat bagi memastikan PADU beroperasi dengan cara yang melindungi data rakyat.

Selain itu, kerajaan harus memperkukuhkan langkah-langkah keselamatan siber dan menetapkan garis panduan yang jelas mengenai akses data. Ini penting untuk memastikan PADU memberikan manfaat maksimum tanpa mengorbankan privasi dan keselamatan data rakyat Malaysia.

Saya juga sarankan agar teknologi seperti ‘Blockchain’ juga dapat digunapakai untuk meningkatkan tahap ketelusan, keselamatan siber dan mengurangkan risiko penyalahgunaan data.

Kerajaan juga diharap dapat memberi penjelasan terhadap beberapa persoalan mengenai pengumpulan data yang timbul. Setakat ini telah sedia ada agensi kerajaan seperti JPN dan DOSM yang banyak mengutip data mengenai rakyat.

Soalnya, mengapakah rakyat perlu dibebani untuk memasukkan dan mengemaskini data profil dan status sosioekonomi mereka? Berkait dengan perkara ini juga, apakah mekanisma yang diguna pakai untuk memastikan kesahihan data yang baru dikemaskini?

Kerajaan juga diharap tidak berpuas hati dengan adanya PADU, kepakaran teknologi digital perlu terus dipermudah dan diperluaskan aksesnya kepada setiap rakyat dalam segenap urusan sebagai langkah positif tadbir urus dan perkhidmatan yang lebih efisien berdasarkan data dan maklumat komprehensif.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB DATUK HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/1/2024

Ulasan