‘Penduduk Kg Desa Mukmin Warisan dihalau secara gerila’

‘Penduduk Kg Desa Mukmin Warisan dihalau secara gerila’
January 16, 2024

Keadaan rumah sebahagian penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan di Gombak, Selangor yang dirakam pada hari ini, 16 Jan 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

GOMBAK: “Isu (projek) ECRL telah mula merebak ke Kampung Desa Mukmin Warisan, dengan ramai penduduknya mula dihalau secara gerila (paksa) oleh pihak ECRL itu sendiri.”

Itu luahan yang diberikan oleh Ketua Kampung Desa Mukmin Warisan, Najib Mohktar, 70, ketika mendedahkan kepada HarakahDaily bahawa setiap penduduk kampung ini telah ‘ditanda’ dan digesa keluar untuk tujuan ECRL.

Dia menyatakan bahawa perkara sebegini adalah amat tidak adil kerana tiada satu pun perbincangan yang dilakukan oleh pihak ECRL itu sendiri mengenai perkara tersebut.

Tambahnya, seharusnya Batu 16 dijadikan sebagai lokasi stesen ECRL yang terakhir tetapi telah diubah selepas pertukaran kerajaan persekutuan pada ketika ini.

“Ini yang menimbulkan satu persoalan, kenapa kami semua penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan perlu dilayan dengan cara sebegini?” soalnya dalam nada sayu ketika ditemui di kediamannya di Kampung Desa Mukmin Warisan, di sini, hari ini.Wajah sayu Najib Mokhtar di hadapan rumahnya yang telah ditanda oleh pihak ECRL di Kampung Desa Mukmin Warisan, Gombak, Selangor, (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

Lelaki warga emas ini menyatakan bahawa mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali juga masih bersifat adil dalam perkara sebegini tetapi semuanya itu berubah ketika Datuk Seri Amirudin Shari memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor terkini.

Katanya lagi, perkara sebegini ditambah lagi dengan berlakunya penyelewengan dilakukan oleh sesetengah individu luar yang bertindak merampas jawatan sebagai Ketua Kampung Desa Mukmin Warisan secara haram, dan membenarkan laluan ECRL dilakukan di dalam kawasan ini.

“Ini yang membuatkan saya betul betul marah kerana melalui pelantikan secara haram ini dengan mudahnya projek ECRL masuk ke kawasan kami secara gerila.

“Kami telah diganggu dan langsung tidak dibawa berbincang mengenai perkara ini sedangkan saya merupakan ketua kampung yang sah,” dedahnya.Petugas HarakahDaily sekali lagi mendedahkan isu ketidakadilan penduduk akibat projek ECRL, kali ini di Kampung Desa Mukmin Warisan, Gombak, Selangor. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

Najib yang merupakan mantan pegawai polis trafik telah menetap di kawasan ini sejak 12 tahun lagi tetapi tidak menyangka bahawa perkara sebegini boleh terjadi.

Tambahnya, jumlah penduduk kampung tersebut terdiri dalam kira-kira 320 orang daripada 60 buah keluarga.

“Kami bukan penduduk asing dalam kampung ini kerana mempunyai surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan ada geran secara sah lagi; tetapi mereka (pihak ECRL) dengan mudahnya menghantar notis pengosongan (kediaman penduduk) dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan berserta tawaran (Ex-Gratia),” jelasnya.Keadaan rumah penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan yang dikatakan dihalau secara gerila oleh pemaju projek ECRL. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

Najib menyatakan, beliau serta penduduk kampung ini telah diberikan tempoh sehingga semalam (15 Jan) untuk mengeluarkan barang-barang dari kediaman masing-masing, yang mana sekiranya gagal melakukan sedemikian akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 426A Kanun Tanah Negara (828).

Dia meluahkan lagi, perkara sebegini tidak ada bezanya dengan situasi di Semenanjung Gaza kerana dihalau secara paksa dari tanah sendiri (oleh Zionis Israel) lebih-lebih lagi, apabila undang-undang itu sendiri telah disalahgunakan bagi melakukan tujuan tersebut.

Sehubungan itu, Najib juga telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut termasuklah mengenai pelantikan Ketua Kampung Desa Mukmin Jaya secara haram atas kesalahan penyelewengan.

Justeru, dia bersama-sama dengan penduduk-penduduk kampung ini telah jelas menetapkan pendirian untuk tidak mahu keluar sedikitpun dari kampung ini kerana amat jelas lagi nyata bahawa tanah-tanah ini milik mereka semua.Visual bahagian hadapan rumah salah seorang penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan yang dirakam pada hari ini, 16 Jan 2024. (FOTO:HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

Tambahan pula, ujar Najib, semua penduduk di situ tidak bersalah kerana tanah Kampung Desa Mukmin Warisan ini jelas dibangunkan secara sah dan tidak mengganggu mana-mana pihak berbanding dengan penduduk haram warga asing yang berleluasa di negara ini.

“Lagipun, kami tidak ada pilihan lain sedikit pun kerana sekiranya kami keluar dari sini, maka kami tidak ada tempat lain pun untuk menetap.

“Malah, kami telah membina penempatan di tanah ini tanpa sedikitpun diperhambakan oleh mana-mana institusi kewangan termasuklah bank; maka kami akan terus mempertahankan perkampungan ini walau apa pun yang terjadi,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2024

Ulasan