Penubuhan SG4 bukan bermaksud cabar konsep federalisma

Penubuhan SG4 bukan bermaksud cabar konsep federalisma
January 3, 2024

Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan

KOTA BHARU: Penubuhan empat kerajaan negeri (SG4) membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis bukan bermaksud mahu mencabar konsep federalisma di negara ini.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, SG4 diwujudkan bagi merancakkan lagi perkembangan sektor pelaburan dan perdagangan di empat negeri terbabit.

Katanya empat negeri tersebut ditadbir PERIKATAN NASIONAL (PN) turut mendapat manfaat dalam perkongsian maklumat bagi penghasilan sumber pendapatan baharu khususnya penghasilan Tenaga Boleh Baharu (TBB).

“SG4 sebenarnya telah ada strukturnya dan kita pun sudah buat gerak kerja dalam aspek pelaburan dan sumber hasil baharu. Tiga kali mesyuarat telah diadakan.

“SG4 bukan bermaksud nak buat negara dalam negara, negeri dalam negeri, tidak.. tetapi kita cuba nak memanfaatkan bersama,” katanya ketika ditemui di sini.

SG4 dilancar sempena muktamar PAS di Shah Alam dua bulan lepas. Mantan Perdana Menteri, Tuan Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat ekonomi.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, mantan perdana menteri sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan anggota-anggota Exco kerajaan Kelantan bagi membincang potensi berkaitan pelaburan.

“Tun memiliki kepakaran dan pengalaman ketika memegang jawatan nombor satu negara sebelum ini untuk dicurahkan kepada Kelantan.

“Hubungan baik dengan banyak negara mampu menarik lebih ramai pelabur datang ke Kelantan dan membantu pertumbuhan ekonomi negeri ke arah lebih baik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/1/2024

Ulasan