PN tak pernah bertindak ganas terhadap pihak lawan


PN tak pernah bertindak ganas terhadap pihak lawan
January 16, 2024

Halimah Ali dalam sesi wawancara, Jangan Sampai Politik Jadi Perkauman di Studio F Karangkraf di Shah Alam, Selangor pada hari ini, 16 Jan 2023.

SHAH ALAM: “Kami PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak pernah bertindak menggunakan apa pun keganasan dalam berpolitik terhadap pihak lawan!”

Itu respons Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali terhadap dakwaan-dakwaan yang mengaitkan PN dalam isu kebakaran tiga buah kereta Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham.

Menurut beliau, kebanyakan ahli PAS sedang melakukan kempen retreat ketika kejadian tersebut berlaku, yang mana beliau sendiri juga mengutuk tindakan tersebut.

Beliau tidak menafikan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Ngeh Koo Ham mengenai cadangan perlantikan pakar bukan Islam dalam membantu sistem Perundangan Islam yang ada dalam negara ini adalah amat tidak wajar kerana isu tersebut adalah amat sensitif.

“Namun begitu ini tidak bermakna bahawa sesiapa boleh melakukan apa pun keganasan termasuklah membakar kereta beliau hanya disebabkan kenyataan sebegitu semata-mata,” katanya ketika muncul dalam sesi Wacana Sinar edisi 428 kelolaan akhbar Sinar Harian yang bertajuk, Jangan Sampai Politik Jadi Perkauman di Studio F Karangkraf, di sini, hari ini.

Tambahnya, PN merupakan parti yang mengamalkan prinsip bersih dan stabil yang mana bukan sahaja daripada apa pun kegiatan rasuah tetapi juga mempunyai akhlak yang bersih.

Beliau sendiri membuktikan perkara tersebut yang mana semua ahli PN sendiri mengutuk keganasan yang dilakukan oleh sesetengah individu yang membakar kereta Datuk Ngeh Koo Ham sebagai tanda protes terhadap kenyataan sensitif beliau dalam Undang-Undang Islam itu sendiri.

“Keganasan tersebut jelas bertentangan dengan prinsip yang diamalkan oleh PN itu sendiri. Oleh sebab itu amat tidak wajar sekiranya ada sahaja tindakan keganasan mula dikaitkan dengan PN kerana kami sendiri pun tidak melakukan kegiatan sedemikian.

“Memang benar kami mungkin bermusuhan tetapi hanya dalam berpolitik sahaja dan bukannya lebih daripada itu walaupun sedikit,” tegasnya.

Beliau juga mengutuk tindakan prejudis yang dilakukan oleh Koo Ham dan mana-mana pihak yang bertujuan untuk memenangi sokongan politik dalam kalangan rakyat.

Halimah memberi satu contoh yang mana ahli politik DAP itu telah melabelkan PN dan dikaitkan dengan isu kebakaran keretanya yang berlaku, yang mana tindakan tersebut menyebabkan seseorang itu membenci ahli parlimen sehingga menyebabkan individu berkenaan menolak sebarang kenyataan yang diberikan oleh ahli parlimen tersebut.

“Ini yang menyebabkan keadaan sifat perkauman akan menjadi semakin teruk, dan sekiranya perkara ini dibiarkan maka dalam jangka masa panjang akan memberikan impak buruk kepada rakyat yang tidak bersalah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya setiap ahli politik perlu berfikiran matang dengan tidak mengamalkan kaedah tersebut dalam apa pun keadaan.

“Ini kerana saya sendiri pun tidak mahu lagi berlakunya peningkatan jurang di antara kaum yang sedia ada dalam negara ini,” akuinya.

Halimah menyatakan, walaupun berpolitik tetapi keganasan tidak boleh dilakukan terhadap mana-mana pihak.

“Oleh sebab itu pentingnya untuk kita fahami betul betul bahawa apa pun amalan keganasan tidak pernah diamalkan oleh PN.

“Maka, saya beritahu kepada setiap pihak supaya jangan sesekali kaitkan apa pun keganasan yang berlaku dikaitkan dengan PN kerana itu adalah perkara yang benar-benar tidak wajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2024

Ulasan