Rasuah Agong: Tun M sifatkan penuduh sebagai pengecut

Rasuah Agong: Tun M sifatkan penuduh sebagai pengecut
January 10, 2024



KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pihak yang membuat kenyataan bahawa beliau merasuah Yang di-Pertuan Agong RM500 juta hingga RM1 bilion tetapi menyembunyikan identiti sebagai pengecut.

Beliau mendesak pihak tersebut membuktikan bahawa perkara itu dilakukannya terhadap Baginda Seri Paduka kerana menurut Tun Mahathir, dalam rasuah kedua-dua pemberi dan penerima akan bersalah.

“Adakah penulis mencadangkan agar Agong ditangkap kerana menerima rasuah? Adakah beliau mempunyai bukti bahawa Agong mengambil RM1 bilion daripada saya? Sila juga buktikan bahawa saya mempunyai wang.

“Seperti yang semua orang tahu (Dato’ Seri) Anwar (Ibrahim – Perdana Menteri) pernah berkata saya ada berbilion Ringgit. Diminta tunjukkan bukti saya ada duit, sampai sekarang dia belum dapat buktikan saya ada duit. Sekarang kenyataan bahawa saya merasuah Agong dengan RM 1 bilion.

“(Itu) bermakna saya ada wang. Jika Anwar tidak dapat membuktikannya sehingga kini mungkin pencetus kenyataan itu harus menunjukkan kepada Anwar bahawa saya mempunyai wang untuk merasuah,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh mengenai tindakan Setiausaha Politik Anwar yang telah membuat laporan polis bahawa bercakap mengenai penyingkiran Perdana Menteri harus diharamkan.

“Kita tidak boleh bercakap tentang 3R. Kita tidak boleh mempolitikkan bajet. Sekarang kita tidak boleh bercakap tentang penggulingan PM. Jadi tiada siapa boleh bercakap tentang apa-apa.

“Dan inilah kerajaan yang dipimpin oleh seorang lelaki yang sebelum ini bercakap tentang reformasi, tentang kebebasan dan lain-lain,” sinis beliau. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

Ulasan