SD masih sah untuk tukar kerajaan, perlu pertimbangan YDPA


SD masih sah untuk tukar kerajaan, perlu pertimbangan YDPA

Berdasar peruntukan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan
January 8, 2024


KUALA LUMPUR: Akuan Bersumpah (SD) sama ada boleh diguna untuk menggantikan Perdana Menteri atau menukar kerajaan sama sekali tidak perlu dipertikaikan, sebaliknya jika ia mencukupi perlu diuruskan mengikut saluran undang-undang.

Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan Yayasan Strategik Lestari (YSL), Dr Mukhtaruddin Musa berkata, tindakan ‘menumbangkan kerajaan’ itu dibenarkan Perlembagaan Persekutuan di mana ia perlu diputuskan segera demi kestabilan negara.

“Saya berpendapat bahawa selagi mana Perkara 43 (4) masih ada di dalam Perlembagaan Persekutuan maka sebarang usaha untuk menumbangkan kerajaan dengan menggantikan seseorang Perdana Menteri adalah dibenarkan oleh undang-undang,” ujarnya.

Mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Menurut beliau, pindaan Perlembagaan yang menghalang tindakan melompat parti, bagaimanapun tidak menghalang Ahli Parlimen mengalihkan sokongan kepada seseorang Perdana Menteri selagi mana beliau tidak melompat parti.

Bekas pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu menjelaskan bahawa keadaan tersebut terbukti dalam kedudukan lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mengalihkan sokongan tanpa menjejaskan kedudukan mereka, baru-baru ini.

Kelmarin, Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah menyatakan bahawa PN sudah mempunyai jumlah SD mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Cukup sudah (jumlah SD) semua, tunggu hari sahaja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra di Kuala Nerang.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, SD tidak lagi boleh digunakan sebagai platform utama menumbangkan kerajaan seperti sebelum wujudnya pindaan perlembagaan yang menghalang tindakan melompat parti.

“(Dalam keadaan sekarang), sebarang keputusan besar dibuat oleh parti. Kalau mahu tukar (kerajaan) kena secara en bloc,” kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Dr Mukhtaruddin bagaimanapun menyandar hujahnya berdasarkan keputusan mahkamah tertinggi negara pada 9 Februari 2010 di dalam kes Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin lawan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya, dalam kes ini Mahkamah Persekutuan dihadapkan persoalan sama ada penentuan isu kepercayaan ke atas Menteri Besar perlu dibuat melalui undi tidak percaya dalam Sidang DUN atau melalui kaedah lain selain undi tidak percaya.

“Tiada dalam Perlembagaan Negeri peruntukan bahawa kehilangan kepercayaan ke atas Menteri Besar hanya boleh dibuat melalui undi tidak percaya dalam Sidang DUN. Oleh itu, bukti kehilangan kepercayaan ke atas Menteri Besar boleh dikumpul daripada sumber-sumber lain dengan syarat ia dibuat dengan betul.”

“Sumber-sumber ini adalah termasuk pengakuan daripada Menteri Besar sendiri dan/atau representasi yang dibuat oleh Ahli-ahli DUN bahawa Menteri Besar tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli DUN,” demikian antara petikan keputusan tersebut.

Tambah beliau, dalam kes di Perak itu, Pengerusi BN, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Perdana Menteri ketika itu telah menyembah maklum kepada Sultan Perak bahawa BN telah mendapat sokongan majoriti (31) Ahli-ahli DUN.

Terangnya, untuk meyakinkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan Mohd Najib itu adalah tepat, kesemua 31 Ahli DUN tersebut telah dititah menghadap Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah.

“Setelah menemui sendiri kesemua Ahli DUN tersebut, Baginda telah yakin bahawa Ir Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar dari kalangan Ahli-ahli DUN seterusnya membolehkan Dr Zambry dilantik sebagai Menteri Besar yang baru.

“Perkara ini telah berlaku beberapa kali di peringkat Persekutuan bila Yang di-Pertuan Agong menemui sendiri Ahli-ahli Parlimen bagi memastikan bahawa maklumat yang dipersembahkan mengenai sokongan mereka kepada seseorang calon Perdana Menteri adalah tepat,” ujarnya.

Bayar bon langgar aku janji?

Beliau malah turut mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Dato’ Seri Ahmad Maslan bahawa semua Ahli Parlimen Umno sudah menandatangani aku janji untuk setia kepada parti sebelum PRU15.

“Sekiranya tarik sokongan, mereka perlu membayar RM100 juta seorang kepada Umno. Andai ada RM1 bilion turun dari langit pun, Kerajaan Perpaduan tidak akan jatuh dan situasi ini hanya merugikan Ahli Parlimen Umno yang menyeberang ke blok pembangkang,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya itu.

Dr Mukhtaruddin berpandangan, soal Ahli-ahli Parlimen sudah menandatangani aku janji setia termasuk perlu membayar RM100 juta seorang kepada parti sekiranya menyeberang ke blok pembangkang adalah isu antara mereka dengan parti sahaja.

Beliau memetik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun 2023 bahawa PKR boleh menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamarudin kerana keluar parti selepas bertanding atas nama PKR pada PRU14.

“Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, bon yang ditandatangani pada 25 April 2018 mengikat diri Zuraida untuk membayar parti sejumlah RM10 juta kerana bon itu adalah satu kontrak yang mengikatnya tetapi pada 12 Julai 2023 Zuraida memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Rayuan Zuraida masih belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dan jika beliau kalah beliau masih boleh memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan tetapi kes melanggar bon atau aku janji kerana keluar parti atau mengalihkan sokongan hanyalah satu usaha pencegahan.

“Jika Ahli-Ahli Parlimen berani menghadapi risiko melanggar bon atau aku janji, mungkin kerana berpendapat belum ada keputusan muktamad mahkamah ke atasnya, maka tidak ada sesiapa yang mampu menghalang mereka dari keluar parti atau mengalihkan sokongan.

“Tegasnya, dalam Perlembagaan Persekutuan asas kepercayaan adalah Ahli-Ahli Parlimen sebagai seorang individu bukannya parti. Jadi konsep kepercayaan berasaskan individu masih menjadi keutamaan manakala soal lompat parti atau tidak hanyalah soal implikasi dari menukar sokongan,” hujahnya.

Tambahnya lagi, walaupun nama Yang di-Pertuan Agong ada dipetik dalam menidakkan usaha untuk menumbangkan kerajaan, tetapi titah Baginda pada 13 Februari 2023 sebenarnya hanyalah satu harapan iaitu “beta berharap Perdana Menteri ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta”.

Malah Dr Mukhtaruddin turut memetik bahawa Baginda juga menambah selepas titah tersebut dengan titah lain yang berbunyi “Namun, ini semuanya adalah ketentuan Allah SWT. Manusia merancang, Allah menentukan segalanya.”

“Maksudnya ialah jika masih ada SD dikemukakan, maka Baginda masih berkewajipan mempertimbangkannya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 8/1/2024


Ulasan