Siapa sebenarnya Daim Zainuddin, ...ini catatan ringkas biodata beliau

 

Siapa sebenarnya Daim Zainuddin, ...ini catatan ringkas biodata beliau
Oleh Fahmy A Rosli - Januari 29, 2024 @ 8:48am
Tun Daim Zainuddin dilahirkan pada April 1938 dan merupakan anak bongsu daripada 13 beradi. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Nama Tun Daim Zainuddin 'muncul' semula pada 2018 sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi dilantik menerajui pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Daim yang digelar 'orang kanan' Dr Mahathir membuat kemunculan semula dalam 'arena' politik dan pentadbiran negara apabila bekas Menteri Kewangan itu diberi tanggungjawab mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan.

Daim yang menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999 - 2001. Selepas itu beliau dikatakan bersara daripada politik dan 'kelibatnya' terus hilang dan tidak lagi menonjolkan diri.

Bibit hubungannya dikatakan rapat dengan Dr Mahathir apabila pernah dilantik sebagai perunding perniagaan kepada Dr Mahathir yang ketika itu bergelar timbalan perdana menteri.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Kemudian, khidmat Daim terus mendapat kepercayaan apabila dilantik sebagai Senator dan kemudiannya Menteri Kewangan menggantikan Tengku Razaleigh Hamzah pada era Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat.

Dalam kalangan wartawan, beliau turut digelar 'tokoh penuh misteri' kerana banyak spekulasi terkait dengan sosok itu, termasuk ada mendakwanya 'jutawan diam-diam'.

Serupa seperti Dr Mahathir, Daim juga berasal dari Alor Setar, Kedah. Beliau dilahirkan pada 29 April 1938 serta anak bongsu daripada 13 beradik.

Bapanya bekerja sebagai kerani kerajaan, manakala ibunya seorang suri rumah.

Memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Kedah dan Institut St Xavier, Pulau Pinang.

Ibarat sirih pulang ke gagang, Daim kembali semula ke KSAH tetapi kali ini sebagai pendidik.

Berikut latar belakang Daim:

Nama: Tun Abdul Daim Zainuddin

Tarikh Lahir: 29 April 1938

Tempat Lahir: Derga, Alor Setar, Kedah

Pendidikan:

- 1949 – 1954: Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) Alor Setar, Kedah

- Institusi Saint Xavier, Pulau Pinang

- 1959: Mendapat Ijazah Undang-undang (Lulus Peperiksaan Peguam) dari Lincoln's Inn

- 1977 – 1979: Memperoleh Ijazah Sarjana dalam Perancangan Bandar dari University of California, Berkeley

Kerjaya:

- 1957: Bermula sebagai guru sementara di KSAH

- 1959: Lulus Ijazah Undang-undang dari Lincoln's Inn

- Terlibat dalam perkhidmatan guaman di Kota Bahru, Kelantan

- Memasuki perkhidmatan guaman kerajaan, berkhidmat sebagai Majistret di Johor

- Bekerja sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Perak

- 1966: Berkhidmat di firma guaman terkemuka Allen & Gledhill

- Menubuhkan firma guamannya, Daim, Gamani. & Co.

Pembabitan dalam dunia perniagaan

- Dua perusahaan komersial pertamanya iaitu perniagaan garam dan pengeluaran plastik, gagal.

- 1973: Berkecimpung dalam pembangunan hartanah selepas memperoleh tanah bernilai di Maluri, pinggir Kuala Lumpur.

- Menubuhkan Syarikat Maluri Sdn Bhd, iaitu beliau memegang majoriti pemilikan 60 peratus

- 1982: Menurut Asiaweek, langkah ini terhasil daripada hubungan rapat Daim dengan Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris.

- Beliau kemudiannya mempelbagai pegangannya dengan melabur dalam pasaran saham.

- Bertindak sebagai perunding perniagaan kepada Dr Mahathir yang ketika itu memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

- 1977 – 1979: Memperoleh Sarjana dalam Perancangan Bandar di Universiti California, Berkeley.

- Dilantik sebagai pengerusi pemaju hartanah Peremba, milik Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

- 1982: Dilantik mengetuai syarikat pelaburan UMNO, Fleet Holdings Sdn Bhd, setahun selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan presiden UMNO

Daim dalam politik negara:

- 1980: Dipilih sebagai Senator

- 1981: Menyandang jawatan sebagai bendahari UMNO yang ketika itu mentadbir Kerajaan Persekutuan

- 1982: Dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat mewakili Parlimen Kuala Muda di negeri kelahirannya, Kedah

- 1985: Dilantik menteri kewangan, dan bertindak Bendahari UMNO

- 1991 - 1998: Daim, atas pilihannya sendiri, 'keluar' dari Jemaah Menteri

- 1999: Kembali semula atas permintaan Dr Mahathir, untuk menguruskan ekonomi Malaysia sepanjang krisis kewangan Asia 1997 hingga 1998.

- 2001: Meletak jawatan dari jawatan ini dan kemudian meninggalkan politik untuk menumpukan perhatian kepada urusan perniagaannya.

- 2018: Mempengerusikan Majlis Penasihat Kerajaan ketika Dr Mahathir dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri selepas PRU14.

Minat terbesar Daim dalam perbankan:

- Kehebatan Daim dalam sektor perbankan bermula apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat.

- Pada 1980, Daim berjaya memperoleh Bank Malaysia-Perancis daripada ahli perniagaan Perancis.

- Pada 1984, Daim mencapai kawalan ke atas United Malayan Banking Corporation (kini RHB Bank), yang juga bank ketiga terbesar di Malaysia pada masa itu.

- Bagaimanapun, Daim terpaksa melepaskan kedua-dua bank itu apabila dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Selepas berundur sebagai menteri:

- Pada 1991, Daim menubuhkan sebuah syarikat pelaburan: International Commercial Bank (ICB) di Switzerland.

- Pada 2001, selepas bersara sekali lagi daripada Kabinet, Daim mengasaskan ICB Global Management. Syarikat itu mengembangkan operasinya ke Sierra Leone dan Gambia. Selepas itu, ICB Financial Group Holding ditubuhkan lalu memulakan pelaburan di Bank Antarabangsa Indonesia.

Ulasan