‘Tok Najib cuba halang jengkaut robohkan rumah penduduk’

‘Tok Najib cuba halang jengkaut robohkan rumah penduduk’
January 17, 2024

Rumah penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan, di Gombak, Selangor sedang dirobohkan oleh jengkaut pada pagi hari ini, 17 Jan 2024. (FOTO ihsan penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan, Ahmad Fadzli Arif)

GOMBAK: Penduduk kampung Desa Mukmin Warisan telah dikejutkan dengan kemunculan dua buah jengkaut pada hari ini, Rabu (17 Jan) untuk memulakan perobohan kediaman mereka.

Zaini Mohd Salleh, 62, yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa bertindak yang terlibat dalam isu ECRL, berkata, perobohan di kampung tersebut 

Menurutnya, perobohan tersebut masih dilakukan walaupun beberapa kali telah dihalang oleh Ketua Kampung Desa Mukmin Warisan, Najib Mohktar atau terkenal dengan gelaran nama Tok Najib dalam kalangan penduduk kampung ini.

“Apa yang menyedihkan, separuh penduduk kampung ini masih lagi mendiami rumah mereka masing-masing tetapi perobohan tetap diteruskan tanpa ada sebarang budi bicara,” dedahnya kepada HarakahDaily ketika ditemui di luar kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini hari ini.

Zaini menyatakan bahawa tindakan sebegini benar-benar tidak wajar kerana penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan juga merupakan kaum bumiputera di negara ini.Tok Najib sedang cuba mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa yang hadir di Kampung Desa Mukmin Warisan pada hari ini, 17 Jan 2023 (Gambar besar – FOTO: Ihsan Ahmad Fadzli Arif). Gambar kecil ialah Tok Najib yang dirakam semalam, 16 Jan 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

“Ia bersifat tidak adil kerana tiada perbincangan yang khusus mengenai perkara ini. Saya sangat sedih kerana kerajaan sibuk mengutuk kezaliman Israel terhadap Palestin tetapi apa yang mereka lakukan terhadap kami juga adalah satu kezaliman.

“Ini (apa yang berlaku kepada kami) seolah-olah menentang kezaliman Israel tetapi (ia sebaliknya seolah-olah) menghalalkan kezaliman dalam negara sendiri pula,” luahnya dalam nada sebak.

Apabila ditanya di mana Tok Najib berada, Zaini berkata Ketua Kampung Desa Mukmin Warisan itu masih berada di dalam kawasan kampung tersebut.Zaini melahirkan kesedihan susulan rumah penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan dirobohkan pada hari ini, 17 Jan 2024 tanpa mengadakan sebarang perbincangan dengan mereka. (FOTO: Ihsan Ahmad Fadzli Arif)

“Najib sedang cuba untuk menghalang perobohan tersebut memandangkan masih ada lagi penduduk kampung yang belum keluar.

“Seperti mana yang Tok Najib kata, penempatan tanah ini telah dibina tanpa ada sedikitpun hutang mana-mana institusi kewangan dan dia sendiri menyatakan penduduk kampung akan terus pertahankan tanah ini walau apa pun yang terjadi.

“Tambahan pula Tok Najib sendiri ketua kampung yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), justeru kerajaan tidak boleh sesuka hati buat perkara sebegini kepada kami semua sebagai penduduk rakyat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/1/2024

Ulasan