Tukar kerajaan ikut proses Parlimen mesti diiktiraf sah

Tukar kerajaan ikut proses Parlimen mesti diiktiraf sah

Selagi digerakkan dalam ruang lingkup dan kerangka Perlembagaan
January 11, 2024

Share

KUALA LUMPUR: Adalah penting untuk semua pihak mengiktiraf proses menukar kerajaan yang digerakkan dalam ruang lingkup dan kerangka Perlembagaan Negara sebagai suatu tindakan sah dan demokratik.

Pengerusi Lujnah Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud, sebarang usaha membentuk semula kerajaan melalui proses Parlimen dan perundingan di antara Ahli-ahli Dewan Rakyat yang dipilih adalah sah.

“Malah ianya juga merupakan komponen penting bagi pelaksanaan fungsi demokrasi yang berkesan. Selagimana perubahan sokongan Ahli-Ahli Dewan Rakyat tidak didasari rasuah dan politik wang,” ujar beliau yang juga ADUN Melor.

Jelasnya, sama ada dalam bentuk mengajak perubahan sokongan atau mempertahankan sokongan kepada Kerajaan sedia ada, ia adalah suatu perubahan landskap politik yang berada dalam ruang lingkup demokrasi dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau membidas kenyataan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sejurus selepas membuat laporan polis mengenai ‘Langkah Dubai’ di Putrajaya, kelmarin dahulu.

Wan Rohimi menyifatkan kenyataan Shamsul sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu gugat sistem demokrasi berparlimen, malah tidak cermat, gopoh dan tersasar dari intipati Perlembagaan Persekutuan dan Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663).

Bahkan katanya, 43 laporan-laporan polis susulan setakat semalam, adalah tidak perlu dan tidak demokratik, kerana tindakan sedemikian merupakan satu cubaan untuk mengganggu-gugat proses pelaksanaan tanggungjawab demokrasi.

Sedangkan menurut pengamal undang-undang berpengalaman itu, hal tersebut adalah peruntukan termaktub yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, oleh semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Jelasnya, Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa budi bicara kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri dan harus dibaca bersama Perkara 43(2)(a).

“Iaitu Perdana Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Justeru bagaimana sekiranya terdapat majoriti Ahli-Ahli Parlimen telah menzahirkan sebaliknya?

“Bahawa pada ketika ini, Perdana Menteri Dato Seri Anwar sudah tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka kehilangan dan ketirisan kepercayaan ini wajib disahkan melalui proses undang undang sedia ada.

“Ia sepertimana duluan-duluan pelantikan Perdana Menteri-Perdana Menteri Malaysia terdahulu. Hal ini selaras dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini.

“Dan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang telah merujuk tindakan 5 Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“(Mereka) menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atas ketetapan bahawa sokongan tanpa melompat atau keluar daripada parti politik masing-masing adalah dibenarkan,” ujarnya.

Maka duluan ini tegas Wan Rohimi, seharusnya kekal di dalam situasi terkini negara dan dengan itu juga dalam sesuatu laporan polis sewajarnya hanya perlu dilakukan jika berlaku kesalahan jenayah semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, melaksanakan hak Perlembagaan oleh setiap Ahli-Ahli Parlimen bukanlah suatu jenayah, tetapi jenayah yang lebih besar ialah menyalahgunakan instrumen undang-undang termasuk agensi penguatkuasaan.

“(Iaitu) untuk melakukan ‘political persecution’ (penganiayaan politik) bagi mempertahankan kuasa yang masih berbaki secara salah dan tidak sah,” tegas beliau lagi.

LUHAM katanya, berharap Kerajaan Madani tetap dengan sikap sebagaimana mengalu-alukan perubahan sokongan lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang menyokong Perdana Menteri sekarang.

Maka ujarnya, sikap dan moral demokrasi sama dapat dipertontonkan dalam melayani sebarang perubahan sokongan Ahli-ahli Parlimen yang tidak lagi meyakini dan menarik balik kepercayaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Madani. – HARAKAHDAILY 11/1/2024

Ulasan