Angka tidak bohong, ekonomi perlu tindakan berani



Angka tidak bohong, ekonomi perlu tindakan berani
February 28, 2024

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam membicarakan soal kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat boleh memilih angka-angka yang memihak atau tidak memihak kepada pentadbirannya.

Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-BaƧhok) berkata, kerajaan juga boleh memilih pujian-pujian yang memihak atau kritikan tidak memihak memihak kepadanya, namun perlu jujur dengan angka kerana angka tidak pernah berbohong.

“Justeru kita perlu fokus kepada petunjuk ekonomi sebenar dan prihatin terhadap keperluan dan keresahan rakyat,” ujarnya dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, beliau mendapati luahan-luahan disuarakan rakyat yang dibacanya di banyak portal adalah lebih realistik berbanding kenyataan para Menteri di mana semakin ‘dikendurikan’ iaitu merujuk dipertikaikan oleh rakyat.

Jelasnya, daripada didapatinya itu, rakyat sudah boleh menjangka gelombang besar kenaikan harga barang antaranya disebabkan cukai-cukai yang naik, penyelenggaraan kenderaan, yuran persekolahan dan sebagainya.

“Ekonomi Malaysia bagi tahun 2024 diharap dapat berkembang lebih baik berbanding tahun lepas. Diharapnya lebih 4 peratus, tahun lepas di bawah sasaran 4 peratus. Pemangkinnya ekonomi domestik, penghalangnya ekonomi global.

“Risikonya hutang rumah yang semakin meninggi. Inflasi diharap kekal sederhana, betul? Di bawah 3 peratus. Namun ada risiko yang kita perlu enticipate lebih awal akibat kenaikan 2 peratus SST kepada 8 peratus.

“Pelaksanaan subsidi bersasar dan gangguan bekalan makanan bermusim mahupun tidak bermusim. Beras, ayam, telur, gula, minyak masak masih lagi berulang,” ujar beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

Tambah beliau, nilai Ringgit yang jatuh ke paras terendah 4.80 akan menyebabkan berlakunya tekanan inflasi import kepada pengilang, penternak, petani dan peniaga seterusnya memberikan tekanan kepada kos sara hidup ditanggung rakyat.

Semua ini menurutnya, sedikit sebanyak akan menjejaskan periuk nasi rakyat di segenap peringkat ibarat tiang dan dinding rumah masih kukuh, tetapi angin menderu semakin kuat dan ombak yang menghempas semakin menghakis.

Tambahnya, di sebalik aplikasi-aplikasi digital diperkenalkan kepada awam, hakikatnya rakyat mahukan harga barang yang rendah serta mahu kerajaan mendengar dan memberikan empati kepada denyut nadi mereka.

Syahir sehubungan itu mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan dipanggil sebagai ekonomi klinikal iaitu untuk memulihkan tahap sosioekonomi negara kerana ekonomi disamakannya seperti sistem biologi individu.

Jelasnya, ia terdiri daripada sistem sangat kompleks di mana sekiranya gagal satu akan menjejaskan selainnya, maka dalam tempoh ekonomi meruncing kini, proses diagnosis perlulah tepat bagi mengenal pasti tanda gejala dan simptom penyakit.

“Diagnosis yang tepat akan membawa kepada rawatan dan intervensi yang tepat. Konsultasi pelbagai kepakaran juga amat diperlukan, berpandukan etika profesional yang tinggi bagi memulihkan kesihatan ekonomi negara.

“Kita pernah saksikan ketika Tun Dr Mahathir (Mohamad) menangani krisis 1998. Ambil tindakan drastik dan berani, ada Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Kita juga pernah saksikan ketika negara berdepan krisis berkembar.

“Krisis kesihatan dan juga krisis ekonomi di bawah pimpinan Pagoh dan Bera. Ambil tindakan drastik dan berani. Ada Majlis Tindakan MKN. Ada libat urus pelbagai pihak, ada pelan komunikasi yang jelas berdepan dengan rakyat, berdepan dengan wartawan, tidak mengelak soalan.

“Jadi ini yang kita perlukan pada tempoh yang sangat kritikal ini. Ini soal periuk nasi rakyat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

Ulasan