Dr M mungkin tak sertai RCI Batu Puteh?


Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif.

Dr M mungkin tak sertai RCI Batu Puteh?
Oleh Essa Abu Yamin - Februari 16, 2024 @ 6:55pm

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak menyertai siasatan dijalankan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan jika ia terus diterajui bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif.
-ADVERTISEMENT-

Peguam kepada Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pihaknya tiada pilihan lain kecuali menasihatkan bekas perdana menteri itu untuk tidak menyertai RCI berkenaan atas alasan Raus mempunyai konflik kepentingan dalam kes berkenaan.

"Sesuatu RCI itu sewajarnya dilihat bersih dan tidak memihak, agar orang awam tidak akan mempersoalkan kewibawaan dapatan RCI terbabit.

"Namun, pelantikan Raus sebagai Pengerusi RCI Batu Puteh ini mewujudkan satu bahaya bias yang sebenar, yang akan mencemarkan keseluruhan prosiding RCI terbabit serta akan menjejaskan kewibawaan dapatannya," katanya dalam kenyataan hari ini.










Muhammad Rafique menjelaskan, umum mengetahui bahawa RCI Batu Puteh adalah berkenaan keputusan Kerajaan Persekutuan pada 31 Jun 2018 untuk menarik balik dua permohonan semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 dan Dr Mahathir adalah Perdana Menteri pada masa keputusan terbabit dibuat.

"Pelantikan Raus sebagai Pengerusi RCI Batu Puteh berkenaan jelas bertentangan dengan prinsip keadilan asasi memandangkan beliau adalah pihak yang amat berkepentingan.

"Pada 2017, Dr Mahathir memfailkan satu semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keabsahan pelantikan Raus sebagai Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan kerana Raus telah mencapai usia 66 tahun dan enam bulan (rujuk Tun Dr Mahathir bin Mohamad v Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak & Ors [2018] 8 MLJ 297).

"Pada 15 Mei 2018, Raus bertemu dengan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri (ketika itu) untuk menyatakan hasratnya meletak jawatan Ketua Hakim Negara.

"Raus kemudiannya mengutus surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 2018 yang mana diperkenankan baginda pada 11 Jun 2018," katanya.

Katanya, atas sebab-sebab sedemikian dan atas nama keadilan bagi Dr Mahathir, pihaknya memohon agar kerajaan menggantikan Pengerusi RCI dengan seorang yang tidak berkonflik kepentingan, atau dalam maksud mencari kebenaran adalah wajar Raus menarik diri dari posisi terbabit.

Ulasan