El Nino: 406 hutan tanah gambut berisiko terbakar


El Nino: 406 hutan tanah gambut berisiko terbakar
OPERASI pemadaman kebakaran tanah gambut boleh bertukar menjadi sangat mencabar apabila melibatkan kawasan yang besar.

PETALING JAYA: Sebanyak 406 lokasi hutan tanah gambut di seluruh negara dikenal pasti berpotensi berlaku kebakaran terbuka sepanjang fenomena El Nino yang diramal berterusan sehingga Mei ini.

Kebakaran berskala besar boleh berlaku sekiranya terdapat pembakaran terbuka tidak terkawal di lokasi panas itu sekali gus mencetuskan fenomena jerebu.

Risiko kebakaran menjadi lebih tinggi apabila kenaikan suhu sehingga 40 darjah Celcius boleh berlaku pada fasa akhir Monsun Timur Laut kali ini terutama di Kedah dan Perlis.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, tanah gambut terdiri daripada bahan organik yang terurai dan menyerap air ketika musim hujan, namun apabila musim kering,
bahan organik itu akan menjadi kering dan mudah terbakar.

Menurutnya, tahun ini dijangka tanah gambut berkenaan akan lebih kering kerana cuaca panas sekali gus terdapat peningkatan dalam kes kebakaran terbuka.

“Kedah merekodkan negeri tertinggi mempunyai hutan tanah gambut berisiko berlakunya kebakaran selepas 119 hotspot dikesan diikuti Johor (45), Negeri Sembilan (37), Terengganu (34), Sabah (33) dan Sarawak (30).


“Bagi Selangor (22) diikuti Kuala Lumpur (15), Pulau Pinang (13), Pahang (10), Kelantan (9), Melaka (6) dan Perlis (3). Tiada sebarang hotspot dikenal pasti di Putrajaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, kata Nor Hisham, operasi pemadaman kebakaran tanah gambut boleh bertukar menjadi sangat mencabar apabila melibatkan kawasan yang besar dan tidak hanya di permukaan tetapi juga di dalam tanah.

Jelas beliau, ketiadaan sumber air susulan kawasan peparitan telah kering atau tiada langsung mengakibatkan pasukan pemadaman perlu mengangkut bekalan air dari kawasan yang jauh.

“Orang ramai diingatkan agar mengelak daripada melakukan sebarang bentuk pembakaran terbuka di kawasan-kawasan berisiko ini.

“Laporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka oleh individu kepada pihak berkuasa selain memperingatkan keluarga dan kenalan supaya tidak membuat aktiviti pembakaran terbuka,” jelasnya.

Beliau berkata, situasi cuaca termasuk amaran, ramalan semasa oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dipantau pihaknya 24 jam melalui Pusat Pengurusan Operasi Ibu Pejabat JBPM dan Pusat Gerakan Operasi JBPM negeri-negeri.

Jelasnya, pemantauan secara 24 jam juga dilakukan menerusi Fire Danger Rating System (FDRS) Indeks Cuaca Kebakaran (FWI) oleh National Climate Centre dan MetMalaysia.

“Rondaan dari semasa ke semasa di lokasi hotspot serta kawasan-kawasan yang biasanya berlaku pembakaran terbuka akan dilakukan dengan kerjasama pasukan bomba sukarela dan komuniti setempat.

“Jentera dan peralatan pemadaman berkaitan operasi pemadaman terbuka juga akan diatur gerak selain melaksanakan program kesedaran awam berkaitan pencegahan dan larangan pembakaran terbuka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 88,360 kes pembakaran terbuka direkodkam sepanjang tempoh lima tahun sejak 2019 sehingga tahun lalu.

Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan apabila sebanyak 28,907 kes direkodkan pada 2019 diikuti 2020 (19,091 kes) dan 2021 (16,932 kes).

“Pada 2022 menunjukkan penurunan paling ketara apabila sebanyak 9,596 kes dilaporkan dan kemudian meningkat semula kepada 13,906 pada tahun lalu,” ujarnya. – UTUSAN

Ulasan