Hati-hati dengan kelompok liberal

Hati-hati dengan kelompok liberal

February 13, 2024

Ahmad Yahya

KUALA LUMPUR: Semua perlu berhati-hati dengan agenda kelompok liberal yang tidak senang dengan peruntukan yang terkandung di bawah enakmen jenayah syariah negeri-negeri.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, beberapa pihak tidak perlu alih perhatian masyarakat berkenaan kes Nik Elin ini hanya dilibatkan soal teknikal semata seolah tindakan beliau tidak beri implikasi besar.

“Sejak daripada kes Juzaili Khamis dan rakan-rakannya, Syukor Jani dan Wan Fairol pada tahun 2015 lagi telah jelas suatu ‘roadmap’ untuk mencabar peruntukan dalam enakmen jenayah syariah negeri.

“Juzaili Khamis telah memohon Mahkamah Sivil untuk mengisytiharkan peruntukan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 sebagai tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, Juzaili didakwa di bawah enakmen berkenaan kerana berpakaian seperti perempuan (atau kini dikenali dengan istilah Munchikari) yang jelas merupakan suatu kesalahan daripada sudut agama dan bertentangan dengan peruntukan di bawah Seksyen 66.

Tambah Ahmad, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sistem In Islam (SIS) Forum yang difatwakan sebagai ‘sesat’ dan ‘menyeleweng daripada ajaran Islam’ itu turut mencabar peruntukan ‘semakan kehakiman’ yang terdapat dalam Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mahkamah Persekutuan tambah beliau, memutuskan bahawa Seksyen 66A ini tidak sah dan tidak berperlembagaan sekaligus mengecilkan peranan yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah dan ia merupakan titik tolak kepada lanjutan kepada kes-kes cabaran perlembagaan pada hari ini.

“Kes yang lebih terkini melibatkan Iki Putra Mubarrak yang didakwa di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 kerana terlibat dalam pesta seks sejenis.

“Dalam cabaran perlembagaan kes Iki Putra, Mahkamah Persekutuan turut memutuskan Seksyen 28 tersebut sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan,” ujarnya.

Isu utama menurut beliau, ‘grand design’ kelompok liberal yang berusaha untuk terus menyudutkan undang-undang syariah di peringkat negeri, dan perkara ini bukanlah isu baharu.

Meskipun tewas, tambah Ahmad, dalam percubaan kes Juzaili Khamis, mereka terus mencabar peruntukan enakmen ini satu demi satu; dan kes Nik Elin walau bagaimanapun sedikit berbeza kerana beliau tidak didakwa di bawah mana-mana seksyen negeri Kelantan sehingga locus standi beliau dipertikaikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Sebli baru-baru ini.

“Justeru, adalah terlalu sempit jika kita sendiri berpegang bahawa petisyen Nik Elin didasari kepada tindakan ‘bona fide‘ untuk mempertahankan keabsahan mahkamah syariah.

“Sedangkan agenda utama liberal telah jelas kelihatan sejak kes Juzaili Khamis dan SIS Forum yang mempertikaikan Seksyen 66A.

“Perkara ini membentuk ‘precedent’ (ikutan) dan umat Islam menyaksikan satu demi satu peruntukan enakmen syariah negeri mula dicabar secara agresif di Mahkamah Sivil,” ujar beliau.

Beliau mengingatkan semua supaya tidak termakan dengan dakyah kosong Nik Elin dan penyokongnya bahawa tindakan cabar peruntukan enakmen syariah tidak mempunyai implikasi yang besar kepada undang-undang syariah negeri.

“Sejak kemenangan SIS Forum lagi kebimbangan terhadap rentetan kes cabaran perlembagaan enakmen syariah telah dibangkitkan ramai pihak.

“Oleh itu, tidak mustahil Nik Elin adalah sebahagian daripada rencana yang sedang dibentuk bagi memenuhi agenda liberal tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2024

Ulasan