Ini anugerah terbesar dalam hidup saya -- Faisal Halim berterima kasih kepada rakyat Malaysia

Ini anugerah terbesar dalam hidup saya -- Faisal Halim berterima kasih kepada rakyat Malaysia
Muzaffar Musa
Februari 27, 2024 14:32 MYT

Penyerang negara, Faisal Halim, menganggap kejayaan memenangi Anugerah Jaringan Terbaik Piala Asia Qatar 2023 sebagai anugerah terbesar dalam hidupnya.

Jaringan menarik yang dilakukan pemain bertubuh cilik berkenaan menggemparkan dunia bola sepak, di mana dia memperdayakan pertahanan kental Bayern Munich, Kim Min-jae, sebelum melepaskan sepakan lencong dari sudut sukar ke gawang lawan untuk Malaysia mengikat Korea Selatan 1-1 dalam aksi peringkat kumpulan -- perlawanan berkesudahan 3-3.

Daripada 132 jaringan yang terhasil dalam kejohanan itu, gol Faisal Halim berada dalam senarai lapan terbaik sejak Rabu lalu sehingga tarikh tutup undian malam semalam.

Daripada lapan jaringan berkenaan, gol Faisal mendapat undian tertinggi, iaitu sebanyak 85 peratus undian diikuti jaringan bintang Jordan, Mousa Al Tamari (9%) dan kapten Republik Korea, Son Heung-min (3%).

Justeru, Faisal ingin mendedikasikan ucapan terima kasih buat seluruh rakyat Malaysia yang bertungkus-lumus mengundi jaringannya.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh penyokong Harimau Malaya, seluruh rakyat Malaysia, seluruh penyokong Faisal Halim.

"Saya amat-amat berbangga dan rasa betul-betul teruja dapat memenangi anugerah terbesar dalam sejarah hidup saya ini.

"Terima kasih kepada semua yang telah mengundi saya," katanya.

Ulasan