Isu Muafakat Nasional: Fadhli jawab kenyataan Zahid

Isu Muafakat Nasional: Fadhli jawab kenyataan Zahid
February 26, 2024

Ahmad Fadhli Shaari


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari tampil memberi jawapan terhadap kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa PAS tidak ikhlas dalam membuat tawaran untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, apa yang telah disebut oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin pada 16 Feb lalu merupakan suatu perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan PAS dengan Umno bagi menghidupkan MN.

“Suka untuk saya nyatakan bahawa apa yang disebut oleh Mursyidul Am PAS itu bukanlah satu tawaran yang baharu. Ia merupakan hasrat yang tidak pernah padam dari pihak PAS bahawa perlunya penyatuan ummah dihidup dan dipertahankan.

“Sama ada ia di bawah nama MN atau apa jua nama merupakan perkara yang kedua,” katanya mengulas tentang kenyataan Zahid yang sebelum ini dilaporkan beberapa portal atas talian.

Beliau turut mempersoalkan keikhlasan Zahid ketika Umno berada di bawah PERIKATAN NASIONAL (PN).

Katanya lagi, pada ketika itu sudah ada rundingan secara ‘gelap’ dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang untuk menobatkannya menjadi Perdana Menteri.

“Ramai yang masih ingat helaian kertas A4 yang tidak sempat bertandatangan mengandungi perakuan ini yang tidak pernah dinafikan oleh presiden Umno,” ungkap beliau dalam laman Facebook miliknya.

Beliau turut mempersoalkan keikhlasan Zahid apabila berdegar-degar menyebut dalam Perhimpunan Agung, tidak akan sama sekali menyokong Anwar Ibrahim dan DAP, namun memungkirinya selepas pilihan raya, walaupun ada pilihan lain yang boleh diambil.

Tambah beliau, hakikatnya pada hari ini kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan BN saling memerlukan antara satu sama lain.

“Tanpa BN, Pakatan Harapan tidak boleh menjadi kerajaan, dan tanpa Pakatan Harapan, Presiden Umno akan merasakan dirinya tidak selamat.

“Apa lagi apabila status DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) yang dianugerahkan itu, bila-bila masa sahaja boleh dibuka dan didakwa semula jika ada bukti yang baharu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Fadhli turut menggesa agar pada masa sekarang kedua-dua parti itu mempergunakan antara satu sama lain sebelum ditolak oleh rakyat secara total dalam pilihanraya yang akan datang.

“PAS tidak akan jemu-jemu membuka pintu untuk perpaduan Ummah, jika Presiden Umno merasakan berbaloi untuk terus berada bersama-sama dengan Pakatan Harapan, teruskanlah,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/02/2024

Ulasan