Isu rakyat jadi krisis negara di masa depan : kiranya tidak ditangani sebaiknya sekarang ini


Isu rakyat jadi krisis negara di masa depan

Sekiranya tidak ditangani sebaiknya sekarang ini
February 28, 2024

KUALA LUMPUR: Kerajaan mesti mengambil tindakan segera terhadap beberapa isu kritikal yang berpotensi menjadi krisis di masa depan sekiranya tidak ditangani, demikian pinta Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok).

Pertama menurutnya, isu generasi muda yang bekerja di bawah kelayakan pendidikan mesti segera ditangani kerana ia suatu krisis masa depan negara dan bukannya terlalu fokus kepada isu pengangguran secara umum sahaja.

“Perlu diwujudkan satu mekanisme sokongan dan peralihan. Mungkin perlu ada jawatankuasa rentas kementerian peringkat nasional menilai ketempangan pasaran kerja, struktur ekonomi, dasar pelaburan dan dasar pendidikan.

“Keduanya, krisis negara menua. Kerajaan perlu perhalusi semula isu pencen dengan persediaan menghadapi krisis menanti iaitu negara yang menurun. Setakat 30 September 2023 dilaporkan 48 peratus ahli KWSP mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

“Dengan simpanan tersebut kira-kira dijangka hanya memperolehi RM42 sebulan untuk tempoh dua puluh tahun. Sedangkan Malaysia sedang menuju ke arah status negara tua menjelang tahun 2030,” ujarnya dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Usaha itu menurutnya, perlu diambil secara proaktif termasuk ke atas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diseimbangkan keperluan semasa dan hari tua dengan diperluaskan dan diberikan keanjalan bagi menjamin kehidupan warga emas.

Ketiga sentuhnya, berkenaan cukai yang perlu diambil kira pendapatan rakyat walaupun kenaikan ini penting untuk menjana hasil tambahan, tetapi kerajaan perlu melihat kepada situasi dihadapi rakyat.

Ini kerana katanya, perkhidmatan-perkhidmatan yang tidak dikecualikan pasti akan meningkatkan kos dan bayarannya di mana peniaga akhirnya akan mengalihkan kesan kenaikan ini kepada pengguna secara tidak langsung.

Selain itu terangnya, amatlah penting untuk disegerakan klasifikasi baharu isi rumah bukan lagi B40 dan M40 di mana telah diumumkan Menteri pada tahun lepas bahawa dasar ini akan bermula Januari 2024.

“Kini sudah di ambang Mac 2024 masih tiada pengumuman apakah klasifikasi baharu yang akan digunakan bermula tahun ini sebelum kita melaksanakan dasar subsidi bersasar yang amat kita alu-alukan untuk dilaksanakan pada tahun ini.

“Keempat, subsidi bersasar ini perhalusi impaknya. Pelbagai pandangan telah dinyatakan berkenaan peralihan subsidi dari segi pelaksanaannya supaya benar-benar membantu mereka yang memerlukan. Kita setuju. Ini langkah yang perlu disokong.

“Menteri pun telah umumkan kerajaan akan program subsidi bersasar minyak petrol RON5 pada tahun ini sebagai langkah untuk mengoptimumkan sumbernya. Cuma orang di kampung sudah bertanya-tanya. Orang di bandar pun sudah berkira-kira.

“Apakah mekanismenya? Adakah dengan pelaksanaan ini harga RON95 di pam stesen ketika itu akan mengikut harga pasaran yang akan diapungkan. Bukan lagi harga bersubsidi pada hari ini,” ujarnya ingin tahu mekanisme pelaksanaan.

Beliau dalam ucapannya itu turut membangkitkan isu-isu berkenaan kelulusan dan janji-janji Kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan antaranya lebuh raya, Projek Rel Pantai Timur dan lapangan terbang. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

Ulasan